KBSS SAMBUT BAIK PENANGGUHAN SUKMA DAN PARA SUKMA KE TAHUN 2022
10 Nov 2020
KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) menyambut baik penagguhan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) dan PARA SUKMA ke tahun 2022 seperti yang diumumkan Menteri Belia dan Sukan Malaysia (KBSM) Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican pada 9 November (kelmarin).
Menteri KBSS Datuk Ellron Angin berkata, penangguhan kedua-dua temasya itu akan mengurangkan kebimbangan kementeriannya terhadap penularan Covid-19 yang semakin merunsingkan di negeri ini.
“Sebenarnya kontinjen Sabah telah bersedia untuk menyertai SUKMA mahupun PARA SUKMA. Latihan atlet kita berjalan seperti biasa sejak berakhirnya kedua-dua temasya itu di Perak pada 2018.
“Latihan ketika ini cuma dibezakan dengan norma baharu iaitu penerapan Prosedur Operasi Standard (SOP) di mana bagi sukan individu, semua atlet berlatih bersendirian.
“Manakala bagi beberapa sukan berpasukan, latihan dijalankan secara kuarantin penuh di mana mereka ditempatkan di satu pusat latihan dengan kawalan ketat keluar-masuk,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Ellron berkata, latihan atlet-atlet negeri ini dipantau sepenuhnya di bawah Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS) dan kementeriannya sentiasa mengikuti perkembangan dan prestasi semua atlet yang terlibat dari semasa ke semasa.
“Seramai 736 atlet melibatkan 31 jenis sukan dalam senarai awal telah didaftar untuk SUKMA, manakala untuk PARA SUKMA pula ianya melibatkan 113 atlet yang akan bertanding dalam sembilan jenis sukan,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini, tidak ada peluang atlet mewakili Sabah yang terjejas berikutan penangguhan itu.
“Ini kerana, saya difahamkan had umur penyertaan juga akan dilanjutkan dari 21 tahun ke bawah ke had umur baharu iaitu 23 tahun ke bawah untuk Sukma XX, tahun 2022 nanti.
“Apapun, ini semua akan dibincangan dan diperhalusi di peringkat Jawatankuasa Khas Teknikal Sukma di peringkat kebangsaan sebelum dibentangkan semula dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA nanti, sebelum ianya dimaklumkan secara rasmi,” katanya.
Dalam pada itu, Ellron juga menyambut baik pengumuman Belanjawan Negara 2021 yang diumumkan Menteri Kewangan Malaysia Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 6 November lalu.
Beliau berharap Sabah juga akan menerima manfaat dan sokongan daripada kerajaan pusat melalui Belanjawan itu dalam usaha bersama membangunkan sukan dan atlet untuk negara.
Kommentare