top of page
  • nabalunews

KDN tidak berkompromi dengan tali barut

23 Ogos 2024


KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar sindiket membawa masuk warga asing melalui pintu masuk negara tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa.


Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, berkata Jabatan Imigresen akan kekal mematuhi undang-undang sedia ada.


“Kalau ada siasatan daripada SPRM, memang terbuka untuk siasatan.


“Kita di KDN dan Jabatan Imigresen tidak sesekali berkompromi soal yang menyalahi tatakelola ini. Kita sangat tegas dalam soal ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat laman media sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), lapor Buletin TV3.


SPRM baru-baru ini berjaya membongkar kegiatan sindiket yang membawa masuk warga asing seperti daripada Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan serta Nepal melalui pintu masuk negara dipercayai tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa.


Sindiket berkenaan dipercayai turut didalangi beberapa penguat kuasa sebuah agensi yang bertugas di pintu masuk negara dengan menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing yang tiba tanpa melalui prosedur dengan modus operandi ‘counter setting’.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata kegiatan sindiket berkenaan dibongkar susulan penahanan 12 individu membabitkan sembilan lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an menerusi Op Pump dijalankan SPRM di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan.

Comments


bottom of page