KDNK Sabah Meningkat
- nabalunews
- Apr 29
- 1 min read

29 April 2025
KOTA KINABALU: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Sabah meningkat kepada RM83.2 bilion pada tahun 2024, berbanding RM82.1 bilion tahun sebelumnya.
Pencapaian itu membuktikan momentum peningkatan positif yang dicatat negeri ini hasil kerjasama pelbagai pihak dalam membangunkan ekonomi Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pencapaian itu selari dengan KDNK nasional yang diunjur meningkat sebanyak 2.5 peratus melalui Rangka Kerja Ekonomi Madani, penyusunan semula ekonomi Malaysia di bawah Belanjawan 2025.
“Sekiranya pertumbuhan positif dapat diteruskan menerusi kerjasama yang erat, tidak mustahil untuk melaksanakan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan jayanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTNg) di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, semua agensi berkaitan perlu memastikan inisiatif dan program di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan pelan pembangunan Hala Tuju SMJ dapat dilaksanakan.
Katanya, ia mampu merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kehidupan rakyat menerusi pelaksanaan Hala Tuju Pembangunan Strategik Negeri sebagai langkah proaktif memacu ekonomi dan pembangunan Sabah bermula pada 2026 hingga 2030.
“Ia juga adalah kerangka awal yang mengambil kira keperluan dasar, ‘blueprint’ dan pelan pembangunan semasa.
“Pelbagai inisiatif akan diwujudkan merangkumi penerokaan inisiatif Ekonomi Biru selain setiap agenda pembangunan negeri di bawah RMKe-13,” katanya.
Hajiji berkata, walaupun pelbagai kejayaan melalui inisiatif Hala Tuju SMJ dan angka positif dari semua data yang dikeluarkan setakat ini, kerajaan negeri tidak berehat dan menjadi selesa dengan pencapaian itu.
“Kita mesti terus bekerja keras dan lebih proaktif. Semua kepemimpinan negeri, ketua jabatan dan peringkat daerah mesti lebih kerap turun padang untuk memantau pelaksanaan program atau projek yang sedang dilaksanakan,” tegasnya.
Comentários