KDNK sektor pembuatan naik 4.1 peratus - Tengku Zafrul
- nabalunews
- Jul 16, 2025
- 1 min read

16 Julai 2025
PUTRAJAYA: Sektor pembuatan negara mencatat perkembangan positif di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), dengan peningkatan nilai tambah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.1 peratus kepada RM95.7 bilion pada suku pertama 2025.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pertumbuhan itu turut disokong 50,000 penciptaan peluang pekerjaan baharu sekali gus menjadikan jumlah tenaga kerja sektor berkenaan mencecah 2.87 juta orang.
“Pada masa sama, gaji median pekerja dalam sektor pembuatan turut mencatat peningkatan 5.4 peratus kepada RM2,745,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Tengku Zafrul berkata, perdagangan perkhidmatan negara turut berkembang kukuh dengan pertumbuhan 14.6 peratus manakala pelaburan digital melonjak kepada RM310.7 bilion.
Dalam pada itu, katanya kedudukan Malaysia dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2025 turut melonjak 11 anak tangga ke tempat ke-23, iaitu pencapaian terbaik sejak 2020.
“Peningkatan ini adalah hasil usaha gigih dalam reformasi birokrasi dan peningkatan produktiviti yang konsisten.
“Insya-Allah, kita akan terus membina momentum ini demi kemakmuran ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.















Comments