top of page

Kebajikan Komuniti Terus Diutamakan: YBR Salur Katil Boleh Laras Kepada Dua Penerima di Kadamaian

  • nabalunews
  • Apr 11
  • 2 min read


11 April 2025


KOTA BELUD: Dua penduduk dari Kadamaian menerima sumbangan katil boleh laras dan kerusi roda menerusi inisiatif Yayasan Bank Rakyat (YBR) melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka dengan kerjasama Kelab Kebajikan Kadamaian melalui program I Care Kadamaian.


Penerima bantuan tersebut ialah Syazwaan Parawi, seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) fizikal dari Kampung Lahanas Siba menerima kerusi roda manakala Sani Bungkolong, warga emas dari Kampung Lahanas Sokid menerima katil boleh laras. Sumbangan itu disampaikan oleh pasukan Kelab Kebajikan Kadamaian yang turut disertai Penyelia Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Joel Deukin.


Program I Care Kadamaian ini merupakan satu lagi usaha murni hasil inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick. Ia berperanan sebagai platform penyaluran bantuan kepada komuniti yang memerlukan, khususnya golongan OKU dan warga emas yang berdepan dengan cabaran harian dari segi kesihatan dan mobiliti.



Bagi Syazwaan Parawi, kerusi roda tersebut dapat meringankan beban keluarganya dalam menguruskan keperluan fizikal beliau. Sementara itu, bagi Sani Bungkolong, pemberian katil boleh laras itu hadir tepat pada masanya dalam membantu beliau menguruskan keperluan tidur dan rehat yang lebih selesa.


Menurut Joel, program ini bukan sekadar pemberian fizikal semata-mata, tetapi simbol keprihatinan ADUN Kadamaian dan organisasi berkaitan terhadap kebajikan rakyat di peringkat akar umbi.


“Kami akan terus mengenal pasti lebih ramai penerima yang layak, kerana masih ramai lagi yang memerlukan perhatian seperti ini,” katanya.


Program CSR ini juga memperlihatkan jalinan erat antara pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menyokong pembangunan sosial setempat. YBR, sebagai penyumbang utama, terus komited dalam menjadikan aspek kebajikan sebagai salah satu teras utama tanggungjawab sosial mereka.


Program seperti I Care Kadamaian menjadi bukti bahawa sinergi antara pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan organisasi sosial mampu memberikan impak besar dalam kehidupan rakyat, terutamanya golongan yang kurang berkemampuan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page