Kebakaran Hospital Papar, ubat-ubatan bernilai lebih RM1.3 juta ubat-ubatan musnah - Hajiji
12 November 2024
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan memohon dana daripada Kerajaan Persekutuan untuk membina semula Stor Farmasi Hospital Papar yang musnah dalam kebakaran pada Isnin.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, yang telah diberi taklimat mengenai kejadian tersebut, menggesa agar pembinaan semula fasiliti yang terjejas dijalankan dengan segera.
Beliau turut mendedahkan bahawa kerugian bagi ubat-ubatan yang musnah sahaja dianggarkan lebih RM1.3 juta.
“Anggaran kos pembinaan semula stor farmasi itu masih belum ditentukan. Kerajaan negeri sangat prihatin dan akan mencari cara untuk membantu, termasuk memohon sokongan Kerajaan Persekutuan untuk membina semula bangunan yang rosak,” kata Hajiji kepada pemberita selepas meninjau bangunan yang musnah itu pada Selasa.
Beliau turut memuji tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat dan menegaskan bahawa yang paling penting ialah tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri Sabah, Datuk Dr Asits Sanna, berkata pesakit yang memerlukan rawatan segera telah dipindahkan ke hospital berdekatan.
“Hospital Papar, dengan kerjasama Ibu Pejabat Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), telah mengaktifkan pelan kontingensi bagi memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas dan hospital bersedia menghadapi sebarang cabaran lain,” kata Dr Asits.
Dalam kejadian pada pukul 7 malam itu, 15 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Papar serta Kimanis telah dikerahkan ke lokasi untuk memadamkan kebakaran.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kakitangan dari Pejabat Parlimen Papar telah diarahkan untuk menyediakan makanan dan minuman kepada pesakit memandangkan dapur hospital turut terjejas.
Tindakan ini akan diteruskan sehingga hospital dapat mendapatkan bekalan makanan daripada pembekal luar.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam catatan di Facebook memaklumkan bahawa proses pemindahan pesakit berjalan lancar, termasuk pemindahan ke hospital berdekatan.
Beliau menambah bahawa perkembangan lanjut mengenai kejadian ini akan diberikan setelah siasatan dan pengesahan dilakukan oleh pihak berkuasa.
Dalam kenyataan sebelum ini, Dr Dzulkefly berkata terdapat 51 pesakit dalam wad ketika kejadian berlaku.
Daripada jumlah ini, lapan pesakit berada di wad kecemasan - satu di zon merah dan tujuh di zon kuning.
Beliau menjelaskan bahawa semasa kebakaran, pesakit di zon merah dan tiga pesakit dari zon kuning telah dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu.
Sementara itu, 19 pesakit lelaki di wad am ditempatkan sementara di bilik pembedahan, dan 14 pesakit wanita ditempatkan sementara di wad bersalin.
“Empat belas pesakit kanak-kanak kekal di wad kanak-kanak, sementara empat pesakit bersalin (termasuk dua kes selepas bersalin) juga tinggal di wad bersalin,” katanya.
Comments