Warga PUSPANITA Berperanan Aktif Perkukuh Institusi Keluarga, Komuniti
- nabalunews
- 5 hours ago
- 2 min read

21 Ogos 2025
PAPAR: Warga Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) perlu terus memainkan peranan aktif dalam usaha memperkukuh institusi kekeluargaan di samping pembangunan komuniti.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong berkata peranan tersebut bukan sahaja dapat membangunkan persatuan tetapi juga menyumbang kepada pembangunan negara secara holistik.
"Keluarga merupakan elemen terpenting dalam sesebuah masyarakat. Keluarga yang sejahtera dapat melahirkan ibu-ibu yang berdaya tahan, berakhlak mulia dan menyumbang secara positif kepada kemajuan negara.

"Namun dalam dunia serba moden ini, hubungan kekeluargaan berhadapan pelbagai cabaran di mana kita semakin kurang mengeluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga masing-masing.
"Malah, semakin ramai rakyat Malaysia mengalami masalah kesihatan mental dan ini termasuk tekanan berpunca daripada persekitaran keluarga yang rendah dan keluarga yang kurang stabil," ujarnya.
Ketika berucap merasmikan Riuh Bersama Keluarga PUSPANITA Cawangan Sabah 2025, Safar yang juga Penasihat kepada persatuan tersebut menyeru agar warga PUSPANITA bijak memanfaatkan masa yang berkualiti bersama keluarga masing-masing.

"Justru, Saya ingin menyeru semua warga Puspanita dan semua keluarga untuk menjadikan hari ini bukan sekadar untuk bersukaria tetapi sebagai satu detik pembaharuan kasih sayang.
"Gunakan masa ini untuk berkomunikasi bergelak ketawa bersama anak-anak dan mengenal kembali hati budi pasangan masing-masing. Jangan tunggu anak-anak menunjukkan tanda Stres baru kita bertindak.
"Jadilah ibu bapa yang hadir secara fizikal dan juga hadir dari segi emosi. Luangkan masa walaupun sedikit kerana masa yang berkualiti jauh lebih berharga daripada hadiah mahal ataupun gadget-gadget canggih yang diberikan kepada anak-anak kita," katanya di Pantai Manis dekat sini, pada Sabtu.

Bertemakan "Kelibat Madan Tersimpul Harmoni", beliau menyifatkan program terbabit sebagai platform untuk mengeratkan silaturahim sesama ahli dan keluarga masing-masing serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan warga kerja perkhidmatan awam.
"Majlis riuh bersama keluarga PUSPANITA ini menggambarkan dengan jelas hasrat kita untuk melihat sebuah masyarakat khususnya Komuniti PUSPANITA yang hidup dalam suasana saling menghormati, bekerjasama dengan harmoni sejajar dengan nilai-nilai murni yang ditekankan oleh kerajaan.
"Saya amat berbesar hati melihat kehadiran yang menggalakkan daripada kalangan ahli Puspanita bersama keluarga masing-masing. Kehadiran anda semua membuktikan komitmen dan sokongan padu terhadap aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh Puspanita Cawangan Sabah sekali gus menjadikan program ini satu medan terbaik dalam kita memperkukuhkan hubungan mesra dan kerjasama yang sedia terjalin," jelasnya.

Pada majlis itu, Safar bersama isteri, Datin Seri Panglima Datuk Dr. Hajah Nuinda Alias merangkap Pengerusi PUSPANITA Cawangan Sabah menyertai kira-kira 300 orang dalam acara senamrobik.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair dan isteri, Datin Junaidah Abidin, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Zainuddin Aman dan isteri, Datin Siti Yuslaini Mohd Samsuri, Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah dan isteri, Datin Seri Adreen Adreeza Mohamad Soffi, Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Hassan Mahali dan isteri, Prof. Dr. Khadijah Usman dan Pegawai Daerah Muhammad Muhammad Ali dan isteri, Muryati Munir Pengerusi PUSPANITA Cawangan Daerah Papar.

Terdahulu, Safar menyempurnakan program penanaman pokok dan buah di Sekolah Rendah Pantai Manis sebagai simbolik yang sangat positif dan mencerminkan komitmen PUSPANITA terhadap kelestarian alam sekitar dan keindahan persekitaran./Penerangan-
Komentar