top of page

Kebakaran Taginambur: ADUN Kadamaian Salur Bantuan Segera Kepada Mangsa

  • nabalunews
  • 14 hours ago
  • 2 min read

20 Februari 2026


KOTA BELUD: Pejabat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian telah mengadakan kunjungan ke lokasi kebakaran yang memusnahkan beberapa buah kedai dan kediaman di Kampung Taginambur, kawasan bawah SMK Narinang, pada Ahad, 15 Februari lalu.


Rombongan penyampaian bantuan tersebut diketuai oleh Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) UPPM Kadamaian, Fandhy Rajin, serta disertai oleh Shainim Epin dari Pejabat Khidmat ADUN Kadamaian. Kehadiran mereka bertujuan untuk menyampaikan sokongan moral dan bantuan awal kepada mangsa-mangsa yang terjejas dalam insiden tersebut.


Menurut Fandhy inisiatif ini merupakan langkah segera pihaknya untuk meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa, di samping melihat sendiri keadaan sebenar di lokasi kejadian.


"Sumbangan ini diharap dapat sedikit sebanyak mengurangkan kesulitan yang dialami oleh mereka yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda," ujarnya dalam kenyataan di lokasi kejadian.


Dalam kebakaran tersebut, seorang mangsa dikenali sebagai Vifnekent Gentan dilaporkan mengalami kecederaan melecur dan telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk menerima rawatan lanjut.


Antara mangsa yang terjejas termasuklah keluarga Gentan Kumoi yang menetap di sana bersama isteri dan dua orang anak, serta keluarga Gyne Vifnekent Gentan yang mendiami rumah tersebut bersama isteri dan empat orang anak. Seorang lagi pemilik rumah, Taisin Dorisi, turut diarahkan mengosongkan premisnya oleh pihak bomba walaupun rumahnya tidak terbakar, berikutan faktor keselamatan.


Dua keluarga penyewa iaitu Sapinah Gusop dan Cathy Annie Santau @ Taty, seorang ibu tunggal bersama dua orang anak, turut kehilangan tempat tinggal. Selain itu, pemilik lot kedai, Satimin Gumbaris, dilaporkan kerugian besar apabila kesemua barangan dagangannya hangus dijilat api.


Beberapa individu lain yang tidak menetap di lokasi kejadian turut mengalami kerugian apabila peralatan dan barangan milik mereka yang disimpan di situ turut musnah. Mereka dikenali sebagai Bj Benjamin, Stanley Lumpiau, Irene, Kuhin, Lusia Somudin, dan Molly Yangau.


Pihak Pejabat Khidmat ADUN Kadamaian dan UPPM akan terus memantau situasi serta memastikan bantuan lanjut dapat disalurkan kepada semua pihak yang terjejas.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page