KEBENARAN RENTAS ZON HIJAU BAKAL HIDUPKAN SEMULA PELANCONGAN DOMESTIK - NANCYKEBENARAN RENTAS ZON HIJAU BAKAL HIDUPKAN SEMULA PELANCONGAN DOMESTIK - NANCY
top of page
  • nabalunews

KEBENARAN RENTAS ZON HIJAU BAKAL HIDUPKAN SEMULA PELANCONGAN DOMESTIK - NANCY



21 Nov 2020


KUALA LUMPUR: Pengumuman kerajaan membenarkan perjalanan rentas daerah dan negeri, membabitkan negeri zon hijau mulai Ahad ini akan menghidupkan semula pelancongan domestik yang terjejas akibat COVID-19, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.


Beliau juga yakin keputusan itu mampu meredakan kegusaran pengusaha perkhidmatan pelancongan seperti perhotelan dan resort, pemandu pelancong, inap desa dan produk pelancongan yang kehilangan sumber pendapatan dalam tempoh sukar itu.


Justeru, beliau amat berharap semua rakyat khususnya di zon hijau menggunakan peluang itu untuk melancong secara domestik, selain disaran menggunakan perkhidmatan ejen pelancongan dan perkhidmatan pelancongan tempatan yang lain.


“Peluang ini juga harus digunakan sebaiknya oleh pemain industri dengan promosi serta tawaran pelancongan yang menarik selaras dengan norma baharu dan SOP (prosedur operasi standard) untuk menarik minat pelancong,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menjadi panel jemputan dalam program Ruang Bicara yang disiarkan secara langsung di Bernama TV semalam.


Kerajaan hari ini bersetuju membenarkan perjalanan rentas daerah dan negeri, membabitkan negeri-negeri zon hijau dan daerah hijau di negeri merah dengan membuat permohonan dari pihak polis.


Susulan perkembangan terbaharu itu, Nancy berkata SOP berkaitan pelancongan sedang dikemas kini berikutan terdapat beberapa pindaan kecil perlu dibuat atas nasihat Majlis Keselamatan Negara.


Beliau berkata senarai baharu SOP itu dijangka dimuat naik di laman web rasmi kementerian dalam dua hari lagi.


Nancy berkata kementerian juga akan mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri untuk berbincang dan memastikan kelonggaran itu dapat digunakan sebaiknya dalam memulihkan kembali sektor berkenaan. – Bernama


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page