Keberkatan Air : Komuniti Kampung Tinata Ulu Raih Manfaat Daripada Projek Bekalan Air dan Sambutan Kaamatan
- nabalunews
- May 23, 2025
- 2 min read

23 Mei 2025
KOTA BELUD: Program dua dalam satu, “Harvesting the Value of Water for the Community” dan sambutan Kaamatan telah berjaya dilaksanakan semalam di Kampung Tinata Ulu.
Acara tersdbut melibatkan penyertaan lebih 200 penduduk tempatan. Majlis ini turut menjadi medan penyerahan rasmi projek bekalan air bersih kepada komuniti setempat.
Majlis dirasmikan oleh Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Negeri merangkap Pengerusi Bersama Sub-Committee 6, Datuk Jasmine Teo Geck Choo.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan penghargaan kepada Yayasan Petronas atas komitmen berterusan mereka dalam menyokong keperluan asas komuniti luar bandar. Beliau menegaskan bahawa sistem bekalan air graviti ini bukan sahaja menjamin kesihatan dan kesejahteraan penduduk, tetapi juga membuka laluan kepada peluang pembangunan yang lebih luas.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Hadlee Panchai, turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan pelaksanaan projek tersebut, khususnya kepada Yayasan Petronas, Taylor’s University, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Hopes Malaysia. Beliau turut menyeru komuniti untuk menjaga kemudahan ini sebaik mungkin agar kelestariannya dapat dikekalkan dalam jangka panjang.
Sambutan Kaamatan turut diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan dan paluan gong tradisional yang mencerminkan kepelbagaian budaya serta nilai warisan masyarakat Sabah.

Dalam majlis yang sama, sijil penghargaan telah disampaikan kepada 12 peserta terbaik dalam tiga kategori pertanian dan keusahawanan, iaitu “Menanam Kepelbagaian Tanaman”, “Menjana Pendapatan” dan “Mencapai Hasil Tertinggi”.
Sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat setempat, Yayasan Petronas turut menyumbangkan sebanyak 40 bakul makanan kepada penduduk memerlukan. Penyampaian sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Hajah Shariah Nelly Francis.
Para tetamu juga dibawa melawat tapak pusat tangki utama serta kediaman yang dilengkapi sistem bekalan air graviti, teknologi penuaian air hujan dan penuaian lestari, sebagai sebahagian daripada gimik perasmian penyerahan projek air bersih ini.
Antara kenamaan yang hadir termasuk Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Maria Chong; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Hajah Myrna Jimenez @ Isabelo; Pengurus Kanan Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Jasper J Diego; Pengurus Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Mavnum Omar Maya; serta Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jitun.
Majlis ini bukan sahaja memperkukuh infrastruktur asas di kampung tersebut, tetapi turut menjadi contoh sinergi antara sektor awam, swasta dan masyarakat dalam menjayakan inisiatif pembangunan yang inklusif dan berimpak tinggi.















Comments