- nabalunews
Kebersamaan mampu jayakan reformasi institusi awam – CUEPACS
4 September 2024
PETALING JAYA: Penjawat awam di semua peringkat digesa untuk menyahut seruan Perdana Menteri bagi menjayakan usaha kerajaan melakukan reformasi dalam perkhidmatan awam.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr. Adnan Mat berkata, usaha tersebut bagi memberikan anjakan kepada kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Semua pihak dalam perkhidmatan awam perlu melihat teguran itu dalam konteks yang positif selain memberi penekanan yang serius dalam melaksanakan agenda reformasi yang diterapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“CUEPACS juga berharap semua ketua-ketua jabatan memberikan kerjasama penuh kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam merancang kerangka reformasi perkhidmatan awam bagi memastikan agenda menambahbaik perkhidmatan kepada rakyat berjaya dilakukan.
“CUEPACS percaya usaha KSN dan KPPA dalam merencana kerangka reformasi lebih mudah dilakukan jika mendapat kerjasama daripada semua peringkat penjawat awam terutama daripada ketua-ketua jabatan,” katanya seperti dilaporkan Buletin TV3.
Menyentuh langkah Perdana Menteri yang menubuhkan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan, beliau berharap perkara membabitkan kakitangan yang terlibat dalam pelan rasionalisasi tetap diberi keutamaan dan dipertahankan.
“Kami juga berharap wakil-wakil kesatuan sekerja atau CUEPACS sendiri terlibat dalam sekretariat tersebut sebagai wakil daripada kumpulan pekerja. Sudah tentu langkah penubuhan sekretariat ini penting dalam merasionalisasi perkhidmatan seperti yang ditekankan dalam agenda reformasi perkhidmatan awam oleh Perdana Menteri.”
“Tetapi, penekanan terhadap aspek kebajikan kakitangan sedia ada perlu juga diberikan keutamaan. Pandangan daripada kakitangan yang boleh diwakili oleh kesatuan sekerja perlu diambil kira sebelum sesuatu keputusan dilaksanakan pada masa hadapan.” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan supaya langkah-langkah reformasi dalam pentadbiran awam dilaksanakan segera.
Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis perjumpaan bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri, semalam.
Comments