top of page
  • Wartawan Nabalu News

'Kedai Cari Rakyat' bakal bergerak lebih kerap di seluruh negara


17 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


MELAKA: Rakyat akan mendapat peluang untuk membeli barangan keperluan pada harga lebih murah menerusi Jualan Rahmah Bergerak yang akan dilaksanakan secara lebih kerap di seluruh negara.


Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata konsep 'Kedai Cari Rakyat' yang digunakan dalam Jualan Rahmah Bergerak bertujuan untuk mencari lokasi yang sesuai dan memudahkan rakyat mendapatkan faedah daripada inisiatif kerajaan.


"Sebelum ini pelaksanaan Jualan Rahmah tertumpu di premis peruncitan seperti pasar raya dan kedai runcit tetapi menerusi konsep 'Kedai Cari Rakyat', kita akan bergerak ke kawasan strategik dan lebih banyak golongan sasar dapat menikmati faedah berkenaan," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jualan Rahmah Bergerak di Pasar Malam Pantai Puteri.


Fuziah berkata setakat ini Jualan Rahmah Bergerak telah dilaksanakan di 78 lokasi di seluruh negara sejak dilancarkan di Pulau Pinang pada 17 hingga 30 Jun lepas, manakala Melaka membabitkan lima lokasi sejak 22 Jun lepas.


Beliau juga menyatakan bahawa Parlimen telah meluluskan RM100 juta bagi pelaksanaan Jualan Rahmah di seluruh negara dan pada masa akan datang, sasarannya adalah untuk melaksanakan sekurang-kurangnya dua kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri di setiap negeri.


Jelas beliau, Jualan Rahmah Bergerak menawarkan harga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran melibatkan lebih 15 barangan keperluan atau barangan dapur.


Katanya menerusi konsep 'Kedai Cari Rakyat', kos penganjuran Jualan Rahmah dapat diminimumkan dan lebih banyak subsidi dapat disalurkan kepada rakyat sekali gus meringankan beban kos sara hidup ditanggung mereka.

Comments


bottom of page