Kedai dua tingkat Taman Ketiau, Putatan terbakar
- nabalunews
- Jul 31
- 1 min read

31 Julai 2025
PUTATAN: Dua buah rumah di tingkat satu bangunan kedai jenis kekal musnah dalam kebakaran awal pagi tadi di Taman Ketiau, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan hasil tindakan pantas pasukan bomba.
Komander Operasi, PBK II Nicholas Harry Ashton melaporkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1:44 pagi menerusi MERS999, sebelum tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan dua buah rumah di tingkat satu bangunan kedai jenis kekal. Rumah pertama berkeluasan 60x60 kaki terbakar 100 peratus, manakala rumah kedua berkeluasan sama terbakar lima peratus dan tidak berpenghuni,” katanya.
Menurut beliau, operasi pemadaman dijalankan secara 'offensive' menggunakan satu aliran 300 kaki dan satu pancutan serta secara 'defensive' dengan satu aliran 200 kaki dan satu pancutan. Sumber air diperoleh daripada Jentera Water Tanker Bomba.
“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 2:27 pagi, sekali gus menghalang api daripada merebak ke bahagian lain bangunan,” tambahnya.
Sebaik tiba di lokasi, kesemua penghuni rumah telah berjaya keluar dengan selamat, manakala tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Seramai 15 anggota terlibat dalam operasi ini, melibatkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan dan 8 anggota dari BBP Kota Kinabalu.


















Comments