top of page
  • nabalunews

Kedaulatan Sabah, tiada tolak ansur sama sekali - Anwar

4 Ogos 2024


KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia sama sekali tidak bertolak ansur mengenai isu tuntutan pihak luar terhadap Sabah serta soal kedaulatan negara dan soal kedudukan Sabah yang menjadi sebahagian Malaysia.


Katanya isu kedaulatan Sabah antara perkara penting yang diminta ditekankan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.


"Ada ura-ura bila negara luar mengugat kedaulatan Sabah, terima kasih kepada Ketua Menteri yang membuat kenyataan tegas dan akan mempertahankan setiap inci tanah Sabah merdeka bersama Malaysia," katanya.


Beliau berkata demikian di ucapan pembukaan ketika menyampaikan Pidato Perdana di Himpunan Perdana Rakyat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.


Tambah Anwar lagi, isu tuntutan oleh Filipina telahpun dijawab dengan tegas walaupun hubungannya dengan kerajaan dan presiden negara tersebut baik.


"Saya pernah jawab baru-baru ini bila kerajaan Filipina kata nak bangkit semula soal kedudukan Sabah, tapi saya jawab hubungan saya dengan kerajaan Filipina sangat baik.


"Hubungan peribadi saya dengan Presiden Bongbong Marcos sangat baik, sangat akrab, dia pun anggap saya antara kawan yang baik.


"Jadi kita harus runding bicara dengan baik, tapi soal kedaulatan negara, soal kedudukan Sabah sebahagian Malaysia tidak kita tolak ansur sama sekali," tegasnya.

Comments


bottom of page