Kejayaan model kerajaan Sarawak wajar jadi panduan Sabah – Yong
- nabalunews
- 1 minute ago
- 2 min read

21 November 2025
KOTA KINABALU: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee menegaskan sudah tiba masanya Sabah melihat dan mengakui Sarawak berjaya kerana mempunyai model kerajaan campuran yang berkesan.
Beliau berkata model kerajaan Sarawak yang merupakan gabungan parti-parti tempatan tanpa pengaruh luar, khususnya parti berasaskan Malaya, telah membuktikan keberkesanannya dalam membawa pembangunan mampan dan kestabilan politik di negeri itu.
Yong menegaskan kejayaan Sarawak bukan hasil pemerintahan ‘kuku besi’ atau penguasaan satu parti, tetapi hasil konsensus politik tempatan yang bekerja sepenuhnya untuk kepentingan negeri tersebut.
“Kemajuan Sarawak didorong oleh kestabilan kewangan yang terjamin, walaupun negeri itu tidak mempunyai tuntutan 40 peratus hasil bersih seperti termaktub untuk Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, beliau mendakwa Sabah berdepan ketirisan kewangan apabila kuasa politik negeri terdedah kepada pengaruh parti luar, sehingga menjejaskan kemampuan negeri untuk menuntut hak perlembagaannya.
Ketirisan pertama, katanya adalah terhadap hak pulangan 40 peratus hasil bersih yang secara jelas digariskan dalam 20 Perkara dan Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan Sabah mempunyai dana untuk mengejar arus pembangunan.
“Namun, apabila Sabah diperintah atau dipengaruhi oleh parti yang berpusat di Malaya, mereka tidak boleh dan tidak akan menuntut bayaran ini secara tegas. Akibatnya, berbilion ringgit yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan kekal di tangan Persekutuan.
“Ketirisan kedua lebih merosakkan kerana ia melemahkan perniagaan tempatan. Apabila parti luar memegang kuasa, dasar dan peluang ekonomi secara semula jadi akan beralih arah daripada penduduk tempatan,” jelasnya.
Beliau merujuk pengiraan statistik bekas Menteri Sabah, Datuk Yap Pak Leong, pada Februari 2005, yang menunjukkan pemilikan perniagaan rakyat Sabah merosot daripada 90 peratus sebelum 1985 kepada kurang 20 peratus pada tahun tersebut.
Tambah Yong, kehilangan kuasa politik tempatan membawa kepada kehilangan kedaulatan ekonomi sehingga kontrak dan peluang perniagaan mengalir keluar, manakala kekayaan yang dijana di Sabah tidak kekal dalam negeri.
“Ini menjelaskan mengapa Sabah miskin walaupun mempunyai kelebihan semula jadi yang lebih baik berbanding Sarawak.
“Kita mempunyai kedudukan strategik yang lebih baik di antara Lautan Pasifik dan Laut China Selatan, pelabuhan air dalam, dan sumber yang kaya, namun kita umpama penapis yang membiarkan kekayaan bocor keluar,” ujarnya.
Justeru, beliau menegaskan satu-satunya cara untuk mengatasi ketirisan tersebut adalah dengan mencontohi model Sarawak melalui pembentukan gabungan parti-parti tempatan tanpa campur tangan daripada parti berasaskan Malaya.
“Kita mesti menolak kediktatoran pemerintahan satu parti.
“Sudah tiba masanya untuk rakyat Sabah bangkit dan bersatu demi mengukuhkan tonggak kewangan kita, kalau tidak, kita akan terus ketinggalan selamanya. Masanya adalah sekarang,” katanya.


















Comments