Operasi Bersepadu Benteras Rokok Seludup Di Sabah
- nabalunews
- 44 minutes ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
12 Mac 2026
KOTA BELUD: Kerajaan Negeri Sabah akan melaksanakan operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi penguat kuasa bagi membendung kegiatan penjualan rokok seludup, susulan insiden seorang pegawai penguat kuasa dipukul ketika bertugas di Sandakan baru-baru ini.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Fairuz Renddan, berkata operasi itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen, serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"Tarikh pelaksanaan tidak akan didedahkan bagi memastikan keberkesanan operasi," katanya dalam sidang media selepas sesi libat urus pembangunan industri padi negeri di sini, Selasa.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan menegaskan bahawa kejadian melibatkan penjawat awam dipukul secara terbuka adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan kerajaan negeri memandang serius perkara berkenaan.
"Kita ada perlembagaan dan undang-undang. Jangan terlalu menunjukkan keberanian dengan melanggar undang-undang. Kerajaan negeri akan berusaha menghapuskan budaya sedemikian di Sabah," tegasnya.
Dalam pada itu, Fairuz berkata kerajaan negeri turut meneliti usaha memperkukuh aspek penguatkuasaan, termasuk meningkatkan keupayaan anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan.
Perkara itu akan dibincangkan bersama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, bagi mencari kaedah sesuai untuk memperkasa anggota penguat kuasa ketika melaksanakan tugas.
Mengenai perkembangan kes berkenaan, Fairuz memaklumkan pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) berusia 50 tahun yang menjadi mangsa kini dilaporkan stabil walaupun masih mengalami sedikit trauma.
Polis telah menahan empat suspek berhubung kejadian berkenaan, termasuk seorang remaja berusia 14 tahun.
Kejadian berlaku Jumaat lepas ketika mangsa sedang membuat rondaan di Pasar Batu 8, Sandakan. Mangsa dipercayai ditegur seorang lelaki yang menjual rokok tanpa cukai secara terbuka sebelum tercetus perselisihan faham dan dia diserang beberapa lelaki tidak dikenali. Rakaman video insiden itu tular di media sosial.











