top of page

Kejayaan Norcy Beauty Lab Jadi Inspirasi Kepada Usahawan Sabah

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

11 Februari 2026


KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata kejayaan Norcy Beauty Lab wajar dijadikan inspirasi kepada usahawan Sabah untuk berani berkembang dan bersaing di peringkat nasional.


Beliau berkata, produk keluaran Norcy Beauty Lab bukan sahaja berada di pasaran Sabah tetapi kini menembusi pasaran Semenanjung Malaysia dan Brunei, menggaji sehingga 15 pekerja dengan perolehan hasil hampir RM10 juta.


“Semasa saya di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), melalui agensi SME Corp tahun lepas, saya telah menyampaikan bantuan geran kepada beliau untuk memperluaskan perusahaannya.

“Saya berbangga melihat kejayaan Norcy yang bermula pada skala kecil di Pusat Keusahawanan Matunggong yang saya rasmikan semasa saya menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah sehingga ke perusahaan berskala lebih besar dengan memiliki kilang sendiri yang lebih besar di Matunggong dan kilang OEM sendiri di Nilai,.


“Inilah semangat Sabah First — bukan sahaja berusaha di bumi sendiri, tetapi berani bersaing dan memperluaskan perniagaan ke luar Sabah,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas melawat kilang perusahaan produk kecantikan milik usahawan Sabah, Norsiah Ahiddin, di Nilai Negeri Sembilan, kelmarin.

Ewon turut menyatakan penghargaan atas jemputan Norsiah untuk merasmikan kilang baharu syarikat itu dan memberi jaminan bahawa Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan menyalurkan sokongan yang bersesuaian bagi membantu pengembangan perniagaan berkenaan.


Menurutnya, kisah kejayaan Norsiah selari dengan Wawasan Sabah First yang digerakkan di MINDET, iaitu melahirkan lebih ramai rakyat Sabah berpendapatan sama ada sebagai pemilik perniagaan atau sebagai pekerja dalam perusahaan milik rakyat Sabah sendiri.


“Melalui wawasan ini, saya memberi fokus besar kepada agenda meningkatkan standard dan kualiti produk serta perkhidmatan usahawan Sabah. Justeru, MINDET akan memastikan sokongan yang wajar diberikan bagi membantu saudari Norcy memperluaskan perusahaannya,” katanya.


Beliau mengucapkan tahniah kepada Norsiah Ahiddin dan berharap kejayaan Norcy Beauty Lab dapat menjadi pencetus semangat serta inspirasi kepada lebih ramai usahawan dan rakyat Sabah.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page