top of page

Kejayaan Norcy BeautyLab jadi inspirasi kepada usahawan lain

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 2 min read

6 April 2026


KUDAT: Kejayaan usahawan wanita tempatan, Norsiah Ahiddin, membangunkan syarikat Norcy BeautyLab Sdn. Bhd. daripada perniagaan kecil kepada sebuah perusahaan yang berkembang ke pasaran antarabangsa menjadi inspirasi kepada usahawan lain di Sabah.


Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, pencapaian Norsiah membuktikan usahawan luar bandar juga mampu mencapai kejayaan dengan usaha gigih dan konsisten.


“Walaupun beliau (Norsiah) bermula dengan modal yang kecil, namun dengan adanya usaha bersungguh-sungguh, kini beliau berjaya membuka kilang ketiga di daerahnya sendiri.

“Saya mengikuti perkembangan kejayaan Norsiah sejak saya menerajui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah dan merasmikan kilang pertama beliau di sini ketika itu.


“Hari ini, saya merasmikan kilang ketiga Norcy BeautyLab. Saya berharap kejayaan Norcy boleh menjadi contoh dan inspirasi kepada usahawan lain, kerana beliau bukan sahaja berjaya membuka kilang di daerah sendiri, malah berkembang ke luar Sabah, termasuk ke Nilai, Negeri Sembilan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan kilang Norcy BeautyLab, di Matunggong, di sini, hari ini.


Ewon berkata, produk Norcy BeautyLab kini turut menembusi pasaran antarabangsa termasuk Brunei, sekali gus membuktikan potensi besar usahawan tempatan untuk bersaing di peringkat global.


Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) sentiasa komited menyediakan pelbagai sokongan termasuk geran SME-UP serta pembiayaan bagi membantu usahawan menyertai ekspo antarabangsa.


“Kita mengalu-alukan penyertaan Norcy dalam ekspo antarabangsa bersama usahawan lain pada masa akan datang,” katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa bantuan kerajaan kepada usahawan bukan sahaja meningkatkan kapasiti perniagaan, tetapi juga memberi pulangan kepada ekonomi setempat melalui peluang pekerjaan.


Sementara itu, Norsiah berkata, kejayaan yang dikecapi hari ini bermula daripada impian kecil yang direalisasikan melalui usaha berterusan, sokongan pasukan serta bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan.


Beliau turut berkongsi cabaran yang dihadapi semasa pandemik COVID-19 apabila perniagaannya terjejas, namun mengambil inisiatif beralih kepada pengeluaran hand sanitizer bagi memenuhi permintaan semasa.


“Walaupun ketika itu jualan produk kecantikan merosot, kami tidak berputus asa. Kami menghasilkan sanitizer untuk dibekalkan kepada hospital dan kementerian, itu membantu syarikat saya terus bertahan,” katanya.


Mengimbas titik mula usaha beliau berkecimpung dalam bidang perniagaan, Norsiah berkata, perniagaannya bermula dengan modal hanya RM200 dari rumah sebelum membuka kilang pertama pada 2019.


“Jangan takut untuk bermula dari kecil kerana sesuatu yang besar itu bermula dengan langkah pertama,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page