top of page

Kejayaan Tangkis Tuntutan Asing Ke Atas Sabah Bukti Kedaulatan Negeri Kekal Utuh- Hajiji

  • nabalunews
  • Jun 22
  • 2 min read

Gambar dari Jabatan Penerangan Malaysia
Gambar dari Jabatan Penerangan Malaysia

21 Jun 2025


KOTA KINABALU: Kejayaan menangkis tuntutan asing ke atas Sabah membuktikan kedaulatan negeri ini kekal utuh di bawah Persekutuan Malaysia sekali gus memberi keyakinan serta kelegaan kepada seluruh rakyat Sabah.


Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen mempertahankan hak serta kedaulatan Sabah, termasuk kejayaan menolak tuntutan pihak luar di peringkat antarabangsa.


Beliau berkata kerajaan negeri juga amat menghargai pelbagai bantuan dan inisiatif daripada Kerajaan Persekutuan termasuk dalam aspek infrastruktur, kesihatan, pendidikan dan keselamatan.

Gambar dari Jabatan Penerangan Malaysia
Gambar dari Jabatan Penerangan Malaysia

"Hubungan baik dan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan akan terus dipertahankan demi memastikan Sabah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan nasional," katanya di sini hari ini.


Beliau berkata demikian semasa berucap pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormat Negeri Sabah 2025 di Istana Seri Kinabalu yang menyaksikan 60 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormat daripada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.


Hajiji berkata beliau memberi jaminan akan terus memperkukuh pelaksanaan dasar pembangunan yang inklusif dan menyeluruh menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam usaha memastikan kemajuan berterusan dan kesejahteraan rakyat Sabah.


Beliau berkata sejak dasar pembangunan diperkenalkan, ia telah memberi impak yang ketara khususnya dalam aspek pemulihan ekonomi, pelaburan, pertanian, pembangunan modal insan serta kesejahteraan rakyat.


Hajiji berkata kerajaan negeri juga memberi tumpuan kepada pembangunan sektor pertanian yang menjadi antara penyumbang penting dalam menjamin keterjaminan makanan di negeri ini.


Antaranya penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) serta pelancaran Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) yang bertujuan meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) pengeluaran beras negeri daripada 24 peratus tahun ini kepada 60 peratus menjelang 2030.


Selain itu, kerajaan negeri juga telah meluluskan penubuhan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Sabah sebagai platform penyelarasan dan pemantauan bagi memenuhi keperluan industri.


"Kita mahu memastikan belia Sabah dilengkapi ilmu dan kemahiran yang relevan untuk menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara," katanya.-BERNAMA

Commentaires


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page