Kejohanan Bola Tampar Santai Sempena Pesta Kaamatan Kukuhkan Ukhuwah Komuniti Belia Telupid
- nabalunews
- 7 hours ago
- 2 min read

3 Julai 2025
TELUPID: Semangat kesukanan dan perpaduan jelas terbukti menerusi penganjuran Kejohanan Bola Tampar Santai Sempena Pesta Kaamatan yang berlangsung meriah di Gelanggang Bola Tampar Kampung Ansuan, di sini, semalam.
Program yang dianjurkan Generasi Muda UPKO Telupid itu adalab sebagai sebahagian daripada kemeriahan sambutan Pesta Kaamatan di peringkat akar umbi.
Majlis perasmian kejohanan disempurnakan Ketua Pemuda UPKO Nasional merangkap Ketua Bahagian UPKO Beluran, Felix Joseph Saang.

Dalam ucapannya, Felix menegaskan ia adalah komitmen berterusan UPKO dalam menyokong pembangunan sukan akar umbi.
Katanya, menerusi aktiviti sukan, ia juga salah satu medium dalam usaha memperkasa golongan belia luar bandar.
“Program seperti ini bukan sekadar menyuburkan gaya hidup sihat, malah turut memupuk semangat perpaduan, kerjasama dan disiplin dalam kalangan generasi muda.

“Nilai itu selari dengan prinsip perjuangan UPKO sebagai sebuah parti progresif rakyat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur yang juga Ketua Generasi Muda UPKO Beluran Emmanuel Atin berkata, beliau amat berbesar hati dan berterima kasih atas sokongan padu yang diberikan oleh pimpinan tertinggi UPKO bahagian Beluran.
Katanya, penganjuran kejohanan ini merupakan satu inisiatif untuk menyemarakkan semangat pesta Kaamatan sambil menggalakkan penyertaan aktif komuniti belia tempatan.

“Saya selaku pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua pasukan yang telah mengambil bahagian dalam kejohanan ini.
“Kejohanan ini bukan sekadar platform pertandingan, tetapi lebih kepada usaha menyatukan komuniti belia dalam suasana yang sihat dan positif sempena pesta Kaamatan,” katanya.
Emmanuel berkata, pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada komuniti Kampung Ansuan atas sokongan dan kerjasama padu, serta kepada semua petugas, pengadil dan para penyumbang yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan program ini.

“Kejohanan ini sekali lagi membuktikan bahawa sukan adalah pemangkin perpaduan dan kekuatan komuniti.
“Diharapkan program sebegini dapat diperluas ke seluruh pelusuk daerah dalam usaha melahirkan generasi muda yang sihat, bersatu dan berwawasan,” katanya.
Sementara itu, kejohanan yang berlangsung dalam suasana mesra dan santai itu berjaya menarik penyertaan daripada pelbagai pasukan tempatan.

Para peserta bukan saja menonjolkan kemahiran dan semangat kesukanan yang tinggi, malah turut memperlihatkan potensi besar belia di kawasan Telupid dalam bidang sukan.
Comentarios