top of page
nabalunews

Kejohanan Merentas Desa SK Panaitan 2024: Membina Jati Diri dan Semangat Kesukanan.



29 November 2024


KOTA MARUDU : Sekolah Kebangsaan (SK) Panaitan Kota Marudu hari ini mencipta sejarah tersendiri dengan penganjuran Kejohanan Merentas Desa peringkat sekolah yang dirasmikan oleh Naib Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Marudu, Suzie Salapan.


Acara tahunan ini adalah aktiviti kokurikulum penting dalam usaha memupuk kecergasan fizikal dan mental murid-murid.


Dua kategori merentas desa dipertandingkan iaitu tahap satu dan tahap dua bagi lelaki dan perempuan.


Kejohanan ini bertujuan lebih daripada sekadar pertandingan fizikal kerana ia turut membina daya tahan fizikal dan mental murid melalui aktiviti sukan.


Kejohanan merentas desa ini juga dapat memupuk semangat kerjasama dalam kalangan warga sekolah, menanam semangat juang dan daya saing di kalangan pelajar serta mengenal pasti bakat untuk mewakili sekolah di peringkat daerah.


Suzie, dalam ucapannya, memuji usaha murni pihak sekolah dalam menganjurkan program ini.


Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan (CLC) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.6 Bandau untuk Parti UPKO, beliau menegaskan bahawa acara sebegini sangat penting untuk melahirkan generasi muda yang berdisiplin dan berdaya maju.


“Saya ucapkan tahniah kepada pihak pentadbiran sekolah dan Jawatankuasa Pelaksana atas dedikasi mereka. Program ini bukan sahaja memenuhi keperluan kokurikulum, malah membantu membina jati diri pelajar dari usia muda,” kata Suzie.


“Semoga kejohanan ini menjadi inspirasi untuk program-program lain yang dapat meningkatkan kecemerlangan murid,” tambahnya.

Comments


bottom of page