Kejohanan Olahraga Kebangsaan Tuaran Ke-5 Catat Sejarah Dengan Penyertaan Rentas Sempadan
- nabalunews
- 3 days ago
- 2 min read

25 Januari 2026
KOTA KINABALU: Kejohanan Olahraga Kebangsaan Tuaran (TAC) edisi kelima berjaya mencatat sejarah dengan menarik banyak penyertaan pasukan rentas negeri dan antarabangsa pada kejohanan kali ini. Kejohanan selama dua hari bermula 24 Januari itu yang akan berakhir malam ini di Kompleks Sukan Likas.
Kejohanan tahunan yang menjadi acara utama dalam kalendar olahraga Sabah itu menyaksikan pertandingan sebanyak 25 acara dalam kategori lelaki dan perempuan, meliputi peringkat umur bawah 6 hingga 17 tahun serta kategori terbuka.
Acara-acara yang dipertandingkan merangkumi acara balapan daripada 50 meter hingga 5000 meter, termasuk acara berganti-ganti 4x100 meter, 4x200 meter, 4x50 meter, dan 4x400 meter. Manakala acara padang terdiri daripada lontar peluru, rejam lembing, lempar cakera, lompat tinggi, lompat jauh, dan lompat kijang.

Sebanyak 76 pasukan mewakili pelbagai kelab, sekolah dan wilayah telah mendaftar, dengan kehadiran delegasi dari luar negara menandakan satu lagi mercu tanda bagi kejohanan ini.
Antara kelab tempatan Sabah yang mengambil bahagian ialah Tuaran Athletics, Letz Go Athletic Club, RSAC, Malawa Eagles, Lampas Athletics, Letz Go Athletic Club,Sekolah Sukan Malaysia Sabah, Humansport Athletics Club, SMK Mat Salleh Ranau, Berwang Athletics Club, Kairos Athletics Club dan Kelab Olahraga SMK Tandek.
Penyertaan pasukan dari wilayah lain dan negara jiran, menambah dimensi baharu kepada persaingan. Turut serta ialah wakil dari Ningxia Province China, Brunei Darussalam (Team Tutong Athletic & Brunei Darussalam Athletic), Sarawak (termasuk Majlis Sukan Negeri Sarawak, Speed Force Miri, Hornbill Athletics Club) dan Semenanjung Malaysia (SSN Melaka).

Penyertaan ini dilihat sebagai langkah positif ke arah mengangkat profil kejohanan sebagai platform olahraga serantau yang kompetitif.
Kalendar kejohanan balapan sepanjang tahun ini berfungsi sebagai pemangkin penting dalam sistem pembangunan atlet muda Sabah. Reka bentuk program yang merangkumi peserta seawal usia enam tahun membolehkan pengesanan dan pembangunan bakat atletik dilakukan pada peringkat akar umbi.
“Kejohanan seperti ini penting untuk membina pipeline atlet kita. Ia adalah langkah pertama yang formal bagi ramai anak muda untuk mengalami persaingan yang teratur dan memenuhi piawaian tertentu,” menurut seorang jurulatih yang hadir.
Kejayaan edisi kali ini dijangka menjadi pemangkin untuk penyertaan yang lebih meluas pada masa hadapan. Penganjur, iaitu Kelab Olahraga Tuaran, menyatakan hasrat untuk mengekalkan taraf kejohanan dan mungkin menambah baik aspek logistik serta promosi bagi menarik lebih banyak pasukan elit dari dalam dan luar negara.
Keputusan penuh bagi semua acara dan kategori dijangka diumumkan secara rasmi oleh penganjur dalam tempoh terdekat. Perkembangan juga boleh diikuti di pautan: https://jsports.com.my/athletics/tuaranyjc/


















Comments