• Ilona Andrew

Kekalkan cukai ‘durian runtuh’ sawit pada 1.5 peratus – Chan


3 Nov 2021 Oleh Ilona Andrew KUALA LUMPUR: Kenaikan sebanyak tiga peratus kadar Levi Keuntungan Luar Biasa atau ‘durian runtuh’ untuk kelapa sawit di Sabah dan Sarawak sepatutnya dikekalkan pada kadar 1.5 peratus, kata Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin. Beliau berkata, pengusaha-pengusaha ladang kelapa sawit di dua negeri ini amat terbeban dengan levi tiga peratus kerana mereka juga perlu membayar cukai jual Minyak Sawit Mentah (CPO) sebanyak tujuh peratus bagi Sabah dan lima peratus bagi Sarawak selepas ambang ataupun threshold RM1,500 setiap tan. Tiada negeri lain di Malaysia yang mempunyai cukai ini, tambahnya. “Kerajaan juga telah mencadangkan untuk menaikkan harga ambang bagi levi untung durian runtuh untuk Sabah dan Sarawak kepada RM3,500 daripada RM3,000. Nilai ambang ini tidak mencukupi. “Kos pengeluaran di Sabah dan Sarawak adalah kira-kira 15 peratus hingga 20 peratus lebih tinggi daripada di Semenanjung Malaysia disebabkan kos pengangkutan, bahan input dan buruh yang lebih tinggi. Oleh yang demikian, threshold tersebut perlu ditetapkan pada RM4,000 setiap tan,” katanya semasa ucapan perbahasannya di Dewan Rakyat, hari ini. Mengulas lebih lanjut, Chan berkata semakan terakhir threshold levi keuntungan durian runtuh telah dilakukan pada 2009 lalu dan dalam 12 tahun itu, gaji dan bahan telah meningkat 80 peratus hingga 100 peratus untuk barangan keperluan tertentu seperti baja dan bahan kimia bersama-sama dengan buruh yang seterusnya meningkatkan kos pengeluaran produk. “Banyak syarikat perladangan di Sabah dan Sarawak masih bergelut dengan pinjaman bank mereka. Selain itu, industri ladang kelapa sawit Sabah dan Sarawak telah kekurangan buruh kerana pekerja asing tidak dapat diambil kerana penutupan sempadan antarabangsa semasa penularan Covid-19 itu. “Akibat daripada kekurangan itu, peratusan tinggi buah sawit dibiarkan tidak dituai dan dianggarkan hampir RM5 bilion kerugian kewangan kepada industri tersebut,” ujarnya. “Saya membantah kenaikan kadar levi ke 3%, kadar levi durian runtuh Sabah dan Sarawak harus dikekalkan pada 1.5%. Selain itu, kerajaan harus menaikkan harga threshold untuk levi keuntungan durian runtuh untuk penanam kelapa sawit Sabah & Sarawak kepada RM4,000.00,” katanya lagi.