• Wartawan Nabalu News

Kelonggaran aktiviti sosial antara penyumbang jangkitan baharu di Sabah



10 Jun 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kelonggaran keatas aktiviti-aktiviti sosiaL merupakan faktor yang menyumbang kepada kes-kes jangkitan baharu yang lebih tinggi di negeri ini.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, walaupun peningkatan kes harian diramal lebih awal akibat perhimpunan ramai menyambut perayaan Aidilfitri dan Kaamatan sepanjang bulan Mei, tetapi kesan sambutan tersebut ‘melimpah’ ke bulan Jun kerana masih ramai yang merayakan sehingga sekarang.


"Pada hari ini angka jangkitan harian melonjak ke 87 kes berbanding 67 kes semalam, pertambahan hampir 30 peratus kes baharu.


"Hari ini merupakan hari kelima secara berturut-turut kes harian meningkat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Masidi berkata, dengan mengambil kira perayaan dan cuti sekolah yang masih berjalan, JKNS menjangkakan penstabilan kes-kes harian hanya boleh dicapai pada hujung Jun.


Katanya lagi, hari ini lapan daerah mencatatkan jumlah jangkitan harian yang lebih tinggi daripada sebelumnya berbanding empat daerah yang mencatatkan

penurunan kes harian.


"Sebanyak 12 daerah mencatatkan kes baharu satu angka dan Kota Kinabalu dengan 30 kes (+2) serta Penampang 27 kes (+8) kekal dengan jangkitan baharu dua angka.


"Sebanyak 15 daerah lagi tidak mencatatkan sebarang jangkitan baharu sepanjang tempoh 24 jam yang lalu," katanya.


Beliau berkata, daerah Kunak dan Telupid kini diisytihar ‘Zon Hijau’ setelah tidak mencatatkan sebarang kes baharu selama 14 hari berturut-turut.


Masidi berkata, daripada jumlah kes keseluruhan pada hari inin, 87 kes adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2 dan dua kes dalam Kategori 4.