top of page

"Keluasan Melebihi Pulau Pinang & Perlis, UPKO Ranau Desak Persempadanan Semula" - Rogers

  • nabalunews
  • 4 days ago
  • 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


RANAU, 7 Julai – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Ranau mengemukakan cadangan agar kajian semula persempadanan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah ini dilaksanakan segera, bagi menampung pertambahan pengundi dan keluasan kawasan yang melampaui beberapa negeri di Semenanjung.


Cadangan itu dikemukakan Ketua Bahagian UPKO Ranau, Rogers Tiam, yang menyokong kenyataan Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick baru-baru ini bahawa parti akan mengemukakan usul berkenaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.


Rogers berkata keperluan ini amat wajar dan beliau percaya gesaan sama turut dibuat parti-parti lain secara berterusan sebelum ini.


Beliau menjelaskan bahawa Parlimen P.179 Ranau mempunyai keluasan 3,891 kilometer persegi, lebih besar daripada Pulau Pinang dan Perlis, serta lebih dua kali ganda negeri Melaka, namun hanya diwakili satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN pada masa ini.


Keadaan ini ditambah pula dengan pertambahan bilangan pengundi yang ketara, menjadikan perwakilan sedia ada tidak lagi efektif dan oleh itu penambahan sebanyak satu kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN amat diperlukan.


Dalam pada itu, Rogers juga berpandangan bahawa Kerajaan Persekutuan seharusnya mengambil berat akan perkara persempadanan semula kawasan Parlimen bagi penambahan ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak, selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 dan rujukan hak lain yang berkaitan.


Beliau menyatakan bahawa tuntutan ini bukan baharu dan telah lama disuarakan pelbagai pihak kerana menyedari kepentingannya untuk memulihkan baki perwakilan Borneo di Parlimen.


Rogers berharap melalui tindakan ini, pembangunan di kawasan Ranau dapat menjadi lebih baik berbanding keadaan semasa, di samping memastikan suara rakyat di daerah itu lebih terbela.


Terdahulu, Ewon telah meminta setiap bahagian UPKO meneliti keperluan persempadanan di kawasan masing-masing, dan Bahagian Ranau dijadual mengemukakan cadangan terperinci selepas Kongres UPKO akan datang.


Sebarang penambahan kerusi bagaimanapun memerlukan pindaan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan serta kajian semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page