• Wartawan Nabalu News

KELUHAN RAKYAT DI PELUSUK NEGERI SENTIASA DIDENGAR: HAJIJI


Datuk Hajiji Haji Noor

9 Feb 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan sentiasa mendengar denyut nadi rakyat tanpa mengira bangsa dan keturunan di seluruh pelusuk negeri.


Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Haji Noor berkata, ini kerana kekuatan Sabah terletak kepada rakyatnya yang berbilang kaum, bangsa dan agama.


Katanya, kepelbagaian rakyat negeri ini tidak pernah memisahkan malah membina sebuah masyarakat yang harmoni.


Beliau juga memberi jaminan kepada masyarakat Cina bahawa kerajaan sentiasa mendengar permasalahan mereka dan tampil dengan penyelesaian yang memberi manfaat.

“Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina pada tahun ini, kita juga perlu sentiasa mengingati semua petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus memerangi pandemik Covid-19 serta pasukan keselamatan,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di sini, hari ini.


Hajiji berkata, kerajaan telah merangka satu pelan pembangunan yang holistik bagi menjana semula pertumbuhan ekonomi iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan 2021-2025) selama lima tahun di negeri ini.


Beliau berkata, Hala Tuju Sabah Maju Jaya itu memberi penekanan dalam sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan.


"Tumpuan juga adalah kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau," katanya.


Katanya lagi, walaupun tahun 2020 adalah tahun sukar, namun ia perlu diterima dengan redha dan menangani pandemik penuh ketabahan.


“Bagi kita di Sabah, memastikan pertumbuhan ekonomi terus berkembang adalah penting,” katanya.