Kem Celik Literasi Awal Kanak-Kanak Serlah Potensi Si Cilik
- nabalunews
- 7 hours ago
- 2 min read

22 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK), Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Kem Celik Literasi Awal Kanak-Kanak, baru-baru ini.
Program yang disertai seramai 25 orang kanak-kanak berumur antara empat hingga enam tahun itu bertujuan mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti berstruktur, menyeronokkan dan berimpak positif.
Menurut Pensyarah Kanan Program PAKK, Dr. Juppri Bacotang, literasi awal merupakan asas penting dalam pembentukan intelektual dan emosi seseorang insan.

“Melalui kem ini, kanak-kanak diberi peluang meneroka pelbagai aktiviti pembelajaran interaktif, permainan pendidikan dan seni kreatif yang dapat merangsang perkembangan kognitif, emosi, sosial serta fizikal mereka.
“Antara pengisian utama kem ialah aktiviti literasi awal interaktif yang melibatkan pelbagai pendekatan seperti bercerita, mengenal huruf, bermain fonemik dan aktiviti pemahaman awal.
“Para peserta juga menjalani penilaian kemahiran literasi awal menggunakan Kit Indikator Kemahiran Literasi Awal (Kit i-KaLAM), iaitu satu instrumen inovatif yang dibangunkan sendiri oleh saya untuk menilai tahap literasi awal kanak-kanak secara menyeluruh dan menyeronokkan,” katanya.

Beliau menjelaskan, penganjuran kem tersebut juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang menekankan kepentingan pendidikan awal berkualiti, kesamarataan jantina, serta pembangunan potensi kanak-kanak secara menyeluruh.
Selain memberi manfaat kepada kanak-kanak, kem ini turut memberi impak besar kepada mahasiswa program PAKK, UMS yang terlibat sebagai fasilitator dan penganjur.
“Melalui pengalaman sebenar berinteraksi serta mengendalikan aktiviti bersama kanak-kanak, para mahasiswa berpeluang mengaplikasikan teori yang dipelajari di bilik kuliah ke dalam situasi dunia sebenar.
“Penyertaan mahasiswa dalam program sebegini membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi serta kemahiran pedagogi mereka sebagai bakal pendidik,” jelas Juppri.
Sementara itu, Pengarah Program, Vironika Gumpai meluahkan rasa puas hati dengan kejayaan penganjuran kem tersebut yang mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa dan peserta.
“Kami berbesar hati melihat keterujaan kanak-kanak sepanjang program ini. Mereka bukan sahaja belajar mengenal huruf dan bunyi, malah membina keyakinan diri dan semangat bekerjasama. Sokongan daripada fakulti, penaja dan rakan mahasiswa amat kami hargai,” katanya.
Program berkenaan turut mendapat sokongan daripada Universiti Malaysia Sabah Flexible Education Centre (UMSFLEC), Kelab Belia Dinamik, Gunung Asli Enterprise serta beberapa penaja luar lain.
Penganjuran Kem Celik Literasi Awal Kanak-Kanak itu juga sekali gus membuktikan komitmen UMS dalam menyumbang kepada pembangunan awal kanak-kanak, memperkukuh agenda pembelajaran sepanjang hayat, serta memperkasa peranan institusi pendidikan tinggi dalam melahirkan pendidik yang berkualiti dan berjiwa masyarakat.
Comments