Kemas juara pertandingan sepanduk Maulidur Rasul Daerah Nabawan
- nabalunews
- Oct 10
- 1 min read

10 Oktober 2025
NABAWAN: Kontinjen Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Nabawan muncul juara dalam pertandingan sepanduk kategori kementerian sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah Nabawan yang berlangsung di dewan serbaguna Majlis Daerah di sini pada Khamis.
Tempat kedua dan ketiga dalam kategori ini masing-masing disandang oleh Masjid Al Hidayah Pekan Nabawan dan Kelas Bimbingan Saudara Kita (KBSK).
Sementara itu Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Nabawan menduduki tempat pertama kategori sekolah dan diikuti oleh SK Bahagia dan SK Tetatagas di tempat kedua dan ketiga.
Kontinjen teramai pula disandang oleh KBSK.
Sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah itu dirasmikan oleh Ketua Bahagian Usia Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin.
Ghani dalam ucapannya berkata, tema sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun ini adalah “Membangun Ummah Madani”, atau lebih mudah difahami membangun masyarakat yang beriman, berilmu, dan berakhlak mulia, serta mampu menyumbang kepada pembangunan kesejahteraan negara dan sejagat, berlandaskan nilai-nilai Islam yang menjunjung keadilan dan kasih sayang.
Justeru itu Ghani menyeru agar masyarakat di daerah ini khususnya umat Islam berpegang dengan prinsip kebersamaan dan toleransi serta kasih sayang untuk sama-sama mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan dalam usaha bersama memastikan setiap aspek pembangunan dapat dijayakan berjalan seiring dengan nilai-nilai kasih sayang dan kemanusiaan.
Hadir sama Pegawai Daerah Nabawan Marshal Anthony @ Idham, Timbalan Ketua Bahagian Usia Nabawan Mohd Hanafi @ Ansom dan barisan kepimpinan Usia Nabawan.


















Comments