Kemasukan pelancong Brunei dijangka meningkat tahun ini
- Wartawan Nabalu News
- Jun 21, 2023
- 1 min read

21 Jun 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sabah menyasarkan peningkatan kemasukan pelancong dari Negara Brunei Darussalam pada tahun ini.
Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Brigedier Jeneral (B) Datuk Paduka Mahmud Saidin berkata, Sabah merupakan destinasi pilihan pelancong Brunei kerana menawarkan pelbagai tarikan seperti lokasi pelancongan, makanan, pusat beli belah dan hubungan kekeluargaan yang akrab.
Beliau berkata, hubungan antara Brunei dan Malaysia sangat rapat terutama dari segi perhubungan masyarakat.
"Pelancong Brunei ke Sabah banyak sekali sejak selesainya pandemik Covid-19 jadi kunjungan ke mari sudah mulai bertambah sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan di post-pos kawalan imigresen," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di sini.
Menurut beliau, seramai 1.2 juta pelancong Brunei telah melawat Sabah pada tahun lepas, sedangkan jumlah penduduk Brunei hanya 440 ribu orang.
"Ini bermakna tarikan selain daripada hubungan kekeluargaan ialah pusat-pusat beli belah, kepelbagaian makanan dan juga lokasi pelancongan banyak di Sabah," jelas beliau.
Beliau turut menyatakan bahawa kunjungan pertamanya sejak dilantik ke jawatan tersebut pada Oktober 2021 adalah bertujuan untuk memperkenalkan diri, di samping membincangkan usaha untuk mengembangkan lagi kerjasama di antara Brunei Darussalam dan Sabah dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan.
Comments