top of page

Kementerian Pendidikan Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Akan Usahakan 45,000 Komputer Riba dan Infrastruktur Digital untuk Sekolah di Sabah

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

14 Januari 2026


KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib menegaskan Kerajaan Negeri Sabah akan berusaha mendapatkan kelulusan bagi semua 45,000 permohonan komputer riba yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi kegunaan sekolah-sekolah di seluruh negeri ini.


Beliau berkata, inisiatif itu melibatkan peringkat prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah dengan komputer riba ditempatkan di sekolah serta diuruskan secara berpusat melalui kemudahan seperti bilik sumber bagi memastikan penggunaan yang berkesan dan adil.


“MCMC juga akan membekalkan papan pintar (smart board) bagi menyokong pembelajaran digital di dalam bilik darjah,” katanya.

Datuk James berkata demikian ketika ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Tindakan Bantuan Komputer Riba, Starlink dan Panel Solar bagi Sekolah Rendah dan Menengah di negeri ini, pada Rabu.


James turut memaklumkan, Sabah mempunyai kira-kira 1,300 buah sekolah dan sasaran jangka panjang kementerian adalah untuk melengkapkan bilik darjah dengan papan pintar secara berperingkat serta memastikan guru-guru diberikan latihan dalam kaedah pengajaran digital.


Selain itu, katanya, MCMC akan menyediakan sambungan internet satelit Starlink kepada 68 buah sekolah yang masih belum mempunyai capaian internet, di samping membekalkan sistem tenaga solar kepada sekolah-sekolah yang tidak mempunyai bekalan elektrik.


“Kita mahu memastikan Sabah tidak ketinggalan jauh dari segi pembangunan teknologi, termasuk teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), berbanding negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan Sarawak,” katanya.


Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah akan menyelaras dan merumuskan hasil perbincangan sebelum satu permohonan rasmi dikemukakan kepada Menteri MCMC untuk pertimbangan dan kelulusan.


Sementara itu, mengulas jumlah komputer riba yang dipohon, Datuk James berkata, permohonan sebanyak 45,000 unit itu adalah berdasarkan keperluan yang dikenal pasti oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan tertakluk kepada kelulusan MCMC.


Katanya, setakat ini anggaran kos keseluruhan masih belum dimuktamadkan, namun menyifatkan inisiatif itu sebagai satu sumbangan besar MCMC kepada pembangunan sektor pendidikan di Sabah.


Berhubung perjalanan pelajar ke Semenanjung Malaysia bagi melanjutkan pengajian, Datuk James berkata Dana Pendidikan Negeri Sabah akan terus membantu pelajar yang layak.


Manakala katanya, cadangan diskaun tambang penerbangan bersama syarikat penerbangan kini sedang dibincangkan oleh agensi-agensi berkaitan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page