Kemeriahan Hari Terbuka & Karnival Keusahawanan SMK Bandaraya Kukuhkan Semangat Komuniti
- nabalunews
- Apr 13
- 2 min read

13 April 2025
KOTA KINABALU: Suasana penuh warna-warni dan semangat kekeluargaan mewarnai Hari Terbuka dan Karnival Keusahawanan yang diadakan semalam, anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya Kota Kinabalu.
Program julung kali itu bukan saja mengeratkan hubungan warga sekolah, malah menjadi platform keusahawanan dan pendedahan kerjaya buat pelajar dan komuniti.
Yang Dipertua PIBG SMK Bandaraya, Suzie Salapan berkata, beliau melahirkan rasa syukur atas kejayaan majlis tersebut yang mendapat sambutan menggalakan daripada pelbagai pihak.

“Pelayanan saya hari ini diterjemahkan melalui amanah dan tanggungjawab komuniti selaku Yang Dipertua PIBG SMK Bandaraya Kota Kinabalu. Syukur puji Tuhan, majlis ini berjalan dengan lancar dan meriah,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan, semalam.
Majlis yang berlangsung penuh ceria itu menyaksikan pelbagai pengisian menarik yang menonjolkan potensi pelajar serta melibatkan penyertaan pihak luar.
Antara acara utama termasuk pameran agensi kerajaan dan swasta, seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, serta Tekun Nasional yang memberi penerangan berkenaan peluang dan sokongan keusahawanan.
Turut serta ialah inisiatif saringan kesihatan percuma menerusi program Peduli Kesihatan Kumpulan B40 (PEKA B40), serta kehadiran institusi pendidikan seperti Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) yang membuka ruang interaksi dan bimbingan akademik kepada para pelajar.
Pameran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) daripada pelajar SMK Bandaraya turut mencuri tumpuan dengan kreativiti projek dan inovasi yang dipamerkan, memperlihatkan kebolehan generasi muda dalam dunia teknologi.
Sebanyak 30 lot gerai jualan turut memeriahkan suasana dengan pelbagai barangan makanan, kraftangan dan produk tempatan, sekali gus menyemarakkan semangat keusahawanan di kalangan ibu bapa dan pelajar.
Majlis dirasmikan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Carlye Lajimin, mewakili Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Ewon turut menzahirkan sokongan melalui sumbangan sebanyak RM10,000.00 kepada tabung PIBG SMK Bandaraya, yang disambut penuh penghargaan oleh seluruh warga sekolah.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada Datuk Ewon atas kemurahan hati. Sumbangan ini sangat bermakna buat kami,” kata Suzie.
Majlis ini menjadi bukti bagaimana permuafakatan antara sekolah, ibu bapa, masyarakat dan sektor luar mampu melahirkan suasana pendidikan yang lebih inklusif dan progresif.
Comments