top of page

Kempen Derma Darah Dan Kesihatan di Kampung Masolog, bantu bekalan Tabung Darah Hospital Kota Marudu

  • nabalunews
  • Dec 5, 2024
  • 1 min read


5 Disember 2024


KOTA MARUDU: Dalam usaha memastikan bekalan di Tabung Darah Hospital Kota Marudu terus mencukupi, satu kempen derma darah dianjurkan dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Kota Marudu, bertempat di Dewan Muhibbah Kampung Masolog, di sini bermula 8 pagi hingga 2 petang pada 8 Disember ini.


Sehubungan itu penduduk Kampung Masolog dan kawasan sekitarnya dijemput untuk menjayakan kempen derma darah anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Masolog itu.


Penyelaras Jiran Wanita KRT Kampung Masolog, Suyantie Mejon berkata program ini adalah usaha komuniti untuk menyokong keperluan perubatan yang mendesak.


“Kami berharap program ini dapat menggalakkan lebih ramai menderma darah dan memahami kepentingan sumbangan ini kepada masyarakat,” kata Suyantie.


Selain kempen derma darah, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan bagi peserta.


Taklimat kesihatan dan sesi soal jawab akan berlangsung untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan diri.


Persatuan St. John Ambulance Malaysia pula akan mengadakan kelas Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) serta penggunaan Automated External Defibrillator (AED) secara percuma.


Peserta yang berminat boleh mempelajari kemahiran asas pertolongan cemas yang penting dalam situasi kecemasan.


Menurut pengurus Sasaran Progressive Solution merangkap Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Marudu, Pillexson James,

yang merupakan rakan kerjasama dalam program ini, acara seperti ini bukan sahaja bermanfaat untuk komuniti tetapi juga memberi peluang kepada peserta untuk menimba ilmu.


“Kami ingin menggalakkan orang ramai untuk mengambil bahagian, bukan sahaja menderma darah tetapi juga mempelajari kemahiran yang mampu menyelamatkan nyawa.” ujar Pillexson.


Menurut penganjur, kempen derma darah ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia.


Peserta hanya perlu memastikan tahap kesihatan mereka berada dalam keadaan baik sebelum menderma darah.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page