Kempen kesedaran "My City, My Responsibility 1.0" akan memeriahkan sambutan Hari Alam Sekitar 2025 di Kota Kinabalu
- nabalunews
- 1 hour ago
- 2 min read

27 Mei 2025
KOTA KINABALU: Sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Alam Sekitar 2025, satu kempen kesedaran bertemakan "My City, My Responsibility 1.0" akan diadakan di Kompleks Karamunsing pada 29 Jun , bermula dari pukul 7.00 pagi hingga 6.00 petang.
Menurut Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam satu kenyataan, kempen tersebut bertujuan untuk mendidik dan menggerakkan komuniti Kota Kinabalu ke arah kelestarian alam sekitar, serta memperkukuh kesedaran orang ramai tentang kepentingan menjaga kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar.
“Kempen ini adalah inisiatif bersama pelbagai pihak dan dirancang untuk menggalakkan masyarakat bandaraya lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

“Objektif utama kempen ini adalah untuk meningkatkan kesedaran orang awam terhadap kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, bagi menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandar raya yang bersih, hijau, dan mampan.
“Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang kempen ini, termasuk pertandingan kutipan berat kitar semula, aktiviti pembersihan komuniti, derma darah, pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan mewarna kanak-kanak, treasure hunt, kids fashion show, pertandingan reka cipta antara sekolah, serta sesi perkongsian ilmu dalam Pocket Talk dan pameran kesedaran alam sekitar. Semua aktiviti ini terbuka untuk penyertaan seisi keluarga.”
Dalam pada itu, kempen ini turut menyokong pelaksanaan beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), antaranya SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab), dan SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim).
Melalui aktiviti-aktiviti tersebut, orang ramai dapat menyumbang ke arah pencapaian matlamat-matlamat ini dengan mengamalkan gaya hidup yang lebih bertanggungjawab dan prihatin terhadap alam sekitar.
Kempen ini dianjurkan dengan kerjasama Kompleks Karamunsing dan Sedafiat Sdn. Bhd., dan orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK di talian 017-8272217 untuk maklumat lanjut atau mengikuti perkembangan terkini melalui Facebook rasmi "KK Bersih dan Hijau".
コメント