top of page

Kempen Perang Hentikan Buli dan Gangguan Seksual Giat di Seluruh Sekolah Kota Belud

  • nabalunews
  • Mar 16
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


16 Mac 2026


KOTA BELUD: Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Belud melancarkan Kempen Perang Hentikan Buli dan Gangguan Seksual secara besar-besaran di semua sekolah rendah dan menengah di daerah ini bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat dan sejahtera.


Gerakan yang mendapat sokongan padu Kementerian Pendidikan Malaysia itu menyaksikan penyertaan keseluruhan sekolah di Kota Belud  termasuk SK Tambatuan, SK St Edmund, SK Tampasuk, SK Suang Punggur, SK Kebayau, SMKA Tun Said dan SJK Chung Hwa. Setiap sekolah tampil dengan poster dan banner kempen yang memaparkan komitmen menolak buli dan gangguan seksual.


Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Dr Japran Haji Kusin dalam kenyataannya menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana salah laku buli dan gangguan seksual. Beliau menyeru semua pelajar agar segera melaporkan sebarang kejadian yang berlaku kepada guru kelas, guru bimbingan, guru disiplin atau terus kepada pengetua dan guru besar. Tegas beliau, pelaku akan berhadapan dengan tindakan undang-undang yang keras. Hotline 15999 turut disediakan bagi memudahkan pelaporan selain saluran rasmi di sekolah masing-masing.


Dalam perkembangan sama, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud turut mengeluarkan garis panduan jelas mengenai bentuk-bentuk buli yang perlu dihentikan merangkumi buli fizikal, lisan, sosial, siber dan isyarat. Pihak PPD menegaskan bahawa gangguan seksual tidak boleh dinormalisasikan sebagai gurauan kerana ia adalah kesalahan serius yang membawa kesan trauma mendalam kepada mangsa.


Guru Besar SK St Edmund Kota Belud, Janiati Nain dalam kenyataannya menekankan bahawa setiap murid mempunyai hak untuk berasa selamat, dihargai dan dihormati. Menurut beliau, buli dan gangguan seksual tidak mempunyai tempat di sekolah dan pihaknya komited bersama ibu bapa serta komuniti sekolah membina budaya prihatin, hormat dan integriti. Beliau turut memaklumkan bahawa saluran aduan boleh dibuat melalui guru kelas, kaunselor, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) dan terus kepada pengetua. Sekolahnya turut mengedarkan poster kesedaran dalam dwibahasa mengandungi mesej hentikan sentuhan tidak diingini dan cegah gangguan lisan serta fizikal.


Sementara itu, Guru Besar SK Pekan Kota Belud, Rusdi Suin berkata pihaknya melancarkankempen bertemakan 'Bersama Kita Banteras Buli dan Gangguan Seksual Demi Mewujudkan Sekolah Yang Selamat' . Beliau menegaskan komitmen SK Pekan  dalam memastikan sekolah bebas daripada gejala buli dan gangguan seksual melalui pendekatan holistik melibatkan semua warga sekolah. Poster kempen di sekolahnya turut memaparkan seruan tegas menghentikan buli dan gangguan seksual. 


Pelbagai mesej kesedaran disampaikan melalui kempen ini antaranya akibat buli seperti trauma, rendah diri dan prestasi akademik merosot. Murid juga dididik untuk berani bersuara , menghormati rakan, tidak menjadi pembuli serta mempertahankan mangsa.


Guru Besar SK Tampasuk II  Roslilah Kadir menegaskan bahawa buli dan gangguan seksual adalah jenayah, justeru semua pihak perlu memainkan peranan dalam mewujudkan zon selamat di sekolah. Manakala Guru Besar SK Kiau 1, Mohd. Zain Tawan mengingatkan agar warga sekolah tidak membuat, tidak membiar dan segera hentikan keganasan.


Kempen yang menggunakan slogan Bersama Kita Hentikan Keganasan dan Teruskan Pendidikan ini turut mengetengahkan tiga langkah utama pencegahan iaitu hormat dan sayangi semua rakan, laporkan kepada guru jika berlaku buli, serta bantu rakan yang menjadi mangsa. 


Semangat solidariti turut dizahirkan oleh Guru Besar SJK Chung Hwa, Chin Nyok Yen@Evolyn yang menegaskan komitmen penuh pihak sekolah berganding bahu memerangi gejala buli dan gangguan seksual serta menyeru semua pihak bersama mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan sejahtera.


Dengan tema Bersama Kita Wujudkan Sekolah Selamat, Murid Sejahtera, kempen ini diharap dapat membersihkan institusi pendidikan di Kota Belud daripada sebarang bentuk keganasan dan gangguan sekali gus memastikan potensi murid berkembang secara menyeluruh dalam aspek akademik, sahsiah dan jati diri.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page