top of page

Kemudahan di Terminal 1, 2 KLIA akan ditambah baik – JIM

nabalunews

21 Julai 2024


PUTRAJAYA: Kemudahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 akan ditambah baik bagi melancarkan pergerakan di kedua-dua lapangan terbang itu.


Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, antara inisiatif yang akan dilaksanakan ialah menambah 40 lagi sistem autogate.


Katanya, penambahan autogate itu penting bagi melancarkan proses di pintu masuk berkenaan, terutama sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.


“Sekarang di KLIA Terminal 1 ada 10 autogate, sama juga di Terminal 2 ada 10. Kerajaan kini dalam proses menambah 40 lagi di pintu masuk utama, termasuk KLIA Terminal 1 dan 2.


“Sekarang masih dalam proses perolehan, kita cuba mempercepatkan proses dan sasaran Ogos ini,” katanya pada pertemuan bersama media di pejabatnya, di sini.


Ruslin berkata, pelbagai inisiatif dilaksana pihaknya bagi memendekkan tempoh pelepasan serta ketibaan dan banyak perubahan yang dapat dilihat.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh

Katanya, antara inisiatif itu ialah membenarkan penggunaan autogate kepada 63 negara kurang berisiko untuk memastikan proses imigresen yang dilalui, berjalan lancar.


“Sebagai contoh, masa menunggu di lapangan terbang, kalau dahulu ada isu terpaksa tunggu lebih sejam kerana ketibaan terlalu ramai, kini purata tempoh pelepasan untuk seorang berkurangan dengan drastik.


“Kalau kita lihat masa menunggu untuk ketibaan di KLIA, 85 peratus daripada jumlah penumpang berada di bawah 25 minit masa menunggu, manakala bagi pelepasan lagi cepat, 20 minit ke bawah,” katanya.


Mengenai penggunaan kod QR di pintu masuk negara di selatan tanah air, Ruslin berkata, pihaknya menyasar penggunaan sepenuhnya bermula September ini, sebaik tamat sesi pembuktian konsep (POC) pada 31 Ogos.


Jelasnya, sejak sistem itu digunakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor mulai 1 Jun lalu, sambutannya menggalakkan.


“Setakat 18 Julai lalu, jumlah pengguna kod QR di BSI adalah 197,901 orang, manakala di KSAB 311,130 pengguna.


“Ini sebagai game changer atau pengubah keadaan dalam urusan Imigresen keluar masuk khususnya di BSI dan KSAB, jadi apabila kita gunakan sepenuhnya sistem ini, saya yakin jumlah akan berganda ratusan ribu,” katanya.


Beliau berkata, biarpun penggunaan kod QR banyak menunjukkan perubahan kepada kesesakan di kedua-dua pintu masuk berkenaan, masih ada pihak mempertikai dan bertanya aspek keselamatan penggunaan kod QR disebabkan bimbang kemungkinan berlaku penipuan.


Bagaimanapun tegasnya, kebimbangan terhadap aspek keselamatan tidak timbul.


“Saya nak beritahu, (penggunaan kod QR) mereka perlu buat pengesahan pasport, imbas pasport masuk dalam sistem dan akan ada pengesahan wajah, baru boleh generate kod QR.


“Malah, ada pegawai menunggu di pintu masuk untuk memastikan sama ada betul atau tidak individu yang menggunakan sistem berkenaan, termasuk bagi yang disenarai hitam, sistem itu sendiri akan sekat,” katanya.

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page