top of page

Kenyataan AGC mengenai ART bukan bersifat politik – PM Anwar

  • nabalunews
  • 3h
  • 2 min read

ree

4 November 2025


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kenyataan dikeluarkan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) bukan bersifat politik.


Beliau berkata, AGC mempunyai peranan penting dalam meneliti aspek perundangan sebelum sesuatu perjanjian dimuktamadkan kerajaan bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan dan undang-undang negara.


Katanya, ulasan AGC itu diperlukan bagi memastikan tiada peruntukan dalam perjanjian bercanggah dengan semangat Perlembagaan.


"Kenyataan dikeluarkan AGC adalah kerana mereka teliti, janganlah kata politik. Apa yang politiknya. Apa salahnya? Kalau kita minta AGC buat kenyataan semata-mata untuk pertahankan kerajaan, itu baharu politik.


"Keputusan yang dibuat dalam Jemaah Menteri kita ubahsuai setelah mendapat input dari Peguam Negara dan saya tegaskan dari segi undang-undang dan perjanjian antara negara, AGC (Jabatan Peguam Negara) itu mempunyai kedudukan penting," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang mempersoalkan kenyataan media dikeluarkan AGC berhubung ART yang didakwa seperti jawapan politik.


Anwar menjelaskan keputusan Jemaah Menteri dibuat selepas mendapatkan input daripada Peguam Negara, selaras kedudukannya sebagai pihak yang memastikan keserasian undang-undang negara dengan perjanjian antarabangsa.


Semalam, AGC memaklumkan Malaysia mempunyai hak untuk menamatkan ART dengan AS pada bila-bila masa melalui pemberitahuan bertulis.


Menurut kenyataan AGC, penamatan perjanjian itu boleh dilakukan tanpa memerlukan persetujuan AS, berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 7.5 ART, yang bertujuan mempertahankan dan memelihara kedaulatan Malaysia serta melindungi kepentingan negara pada setiap masa.


Artikel 7.2 ART pula, menurut AGC memperuntukkan bahawa perjanjian tersebut hanya akan berkuat kuasa 60 hari selepas kedua-dua pihak bertukar pemberitahuan bertulis yang mengesahkan bahawa tatacara perundangan domestik berkaitan telah selesai dilaksanakan.


Kenyataan itu juga menyebut pelaksanaan kewajipan dan komitmen Malaysia di bawah perjanjian berkenaan adalah tertakluk kepada undang-undang dan tatacara domestik yang terpakai.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page