Hukuman FIFA bermotif politik – TMJ
- nabalunews
- 7 minutes ago
- 1 min read

4 November 2025
KUALA LUMPUR: PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mendakwa hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap pemain warisan negara sebagai tindakan bermotifkan politik dan bukan berasaskan undang-undang.
Baginda bertitah, FIFA gagal menggunakan peruntukan sebenar dalam kod badan induk itu khususnya Artikel 22 yang menyatakan hanya individu yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu boleh dikenakan tindakan.
“Dengan kata lain, hukuman yang dikenakan ini tidak berasaskan undang-undang dan kelihatan lebih bersifat ‘bermotif politik’ berbanding sebab yang sebenar,” titah baginda dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya.
Bagaimanapun, titah baginda, ketika ada yang memilih untuk menuding jari dan membuat bising, baginda sebaliknya memilih sebaliknya.
"Ada yang memilih untuk menuding jari, ada yang memilih untuk membuat bising.
"Tetapi saya memilih untuk berdiri dan menyokong perjuangan berhabis-habisan demi para pemain yang kini akan diteruskan ke CAS iaitu sebuah badan bebas," titah baginda lagi.
Pada Isnin, FIFA menolak rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung isu memalsukan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan.
Keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA itu sekali gus menyaksikan hukuman denda sebanyak CHF 350,000 (kira-kira RM1.8 juta) yang dikenakan ke atas FAM sebelum ini kekal.
Tujuh pemain terbabit iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garcas, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano pula digantung 12 bulan selain masing-masing diperintahkan untuk membayar denda sebanyak CHF 2,000 (sekitar RM10,400) kepada FIFA.


















Comments