Kenyataan kumpulan mahasiswa tidak wakili pendirian rasmi UMS
- nabalunews
- 1 hour ago
- 1 min read

20 Mei 2026
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan kenyataan dan tindakan kumpulan pelajar yang menggelar diri mereka sebagai Suara Mahasiswa UMS berhubung isu pertindihan tanah di Kampung Asaon, Matunggong tidak mewakili pendirian rasmi pengurusan tertinggi universiti itu.
UMS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pihak pengurusan universiti mengambil maklum mengenai aktiviti turun padang dan kenyataan yang dikeluarkan kumpulan mahasiswa berkenaan berkaitan isu tersebut.
“Sebagai institusi pengajian tinggi yang menjunjung kematangan intelektual dan menghormati kepelbagaian pandangan, UMS menegaskan sebarang kenyataan, tindakan atau pendirian yang dizahirkan oleh kumpulan mahasiswa berkenaan adalah atas kapasiti peribadi mereka sendiri.
“Justeru, kenyataan dan tindakan tersebut tidak mewakili pendirian rasmi, dasar mahupun pandangan pengurusan tertinggi universiti, termasuk lebih 22,000 mahasiswa aktif UMS,” menurut kenyataan itu.
UMS menegaskan pihaknya sentiasa menghormati hak kebebasan bersuara dan kebebasan akademik dalam kalangan warganya.
Bagaimanapun, katanya kebebasan tersebut hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab selaras dengan peruntukan undang-undang, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta peraturan-peraturan universiti yang sedang berkuat kuasa.
UMS turut mengingatkan mahasiswa supaya setiap program aktivisme, kesedaran awam atau khidmat komuniti yang dilaksanakan di luar kampus perlu berpaksikan fakta sahih, mematuhi lunas undang-undang negara serta memelihara tatatertib dan nama baik universiti.
“Selain itu, mahasiswa juga diseru supaya menghormati adat resam setempat, menyantuni sensitiviti masyarakat serta memelihara keharmonian dan kesejahteraan komuniti yang telah sekian lama terbina.
“Seluruh warga mahasiswa digesa terus mengamalkan sikap berdisiplin, berintegriti dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan selaras dengan nilai universiti serta peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” tambah kenyataan itu.
Pada masa yang sama, UMS turut mengingatkan semua pihak untuk menghormati peranan institusi penguat kuasa dalam memastikan ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.















Comments