Kenyataan Shafie Hina Kaum Murut Sebagai 'Kafir' Menyinggung Ramai Pihak
- nabalunews
- 1 day ago
- 1 min read

8 September 2025
TENOM: Ucapan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal yang menyifatkan kaum Murut sebagai kafir menimbulkan rasa kesal dan membangkitkan kemarahan banyak pihak.
Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Tenom, Junik Bajik berkata, walaupun Shafie kemudiannya mendakwa hanya ‘tersasul’, namun isu yang melibatkan sensitiviti kaum tidak sepatutnya disentuh dalam mana-mana ceramah politik.
Katanya, kenyataan yang dibuat secara umum seumpama itu amat menyinggung perasaan khususnya masyarakat suku kaum Murut.
“Bukan itu saja, malah kenyataan itu turut dirasai kaum bumiputera bukan Islam lain kerana ia membawa maksud yang sangat sensitif dan berbaur penghinaan.
“Apa yang amat dikesali, ini bukanlah kali pertama Shafie mengeluarkan kenyataan yang dianggap memperlekehkan kaum lain di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ucapan yang dibuat Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal dalam sebuah majlis bersama rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, semalam
Junik berkata, sebelum ini, Shafie juga pernah mencetuskan kontroversi apabila menyifatkan masyarakat Cina sebagai binatang dengan menyebut “tiada satu ekor Cina dalam kabinet” dalam salah satu ucapannya.
“Kenyataan jelik berulang kali seperti ini jelas menunjukkan sikap tidak sensitif terhadap kepelbagaian kaum di Sabah yang selama ini hidup dalam suasana harmoni.
“Tindakan Shafie wajar dikecam kerana boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan menggugat perpaduan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, Junik menggesa pihak berkaitan supaya mendesak agar bekas ketua menteri itu segera membuat permohonan maaf secara terbuka kepada masyarakat Murut khususnya.
“Begitu juga kepada seluruh rakyat Sabah dan Malaysia secara umum serta berjanji untuk tidak lagi mengulangi kenyataan-kenyataan berbaur penghinaan,” katanya.
Comments