Kepelbagaian Kaum Tunjang Kekuatan, Perlu Dipelihara – Joniston
- nabalunews
- 3 days ago
- 2 min read

23 Ogos 2026
KOTA KINABALU: Kepelbagaian kaum, agama, etnik dan budaya di Sabah merupakan tunjang kekuatan yang perlu terus dipelihara bagi membina masyarakat yang bersatu padu dan harmoni.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, kepelbagaian yang menjadi keistimewaan Sabah bukan sesuatu yang harus memisahkan masyarakat, sebaliknya perlu dimanfaatkan sebagai kekuatan dalam memperkukuh perpaduan.
“Inilah keistimewaan Malaysia, khususnya Sabah, sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian agama, etnik, budaya dan bahasa. Masyarakatnya telah hidup berdampingan sejak sekian lama dengan mengamalkan sikap saling menghormati, memahami dan bertolak ansur.
“Kita harus menyemai nilai kasih sayang, hormat-menghormati, toleransi dan keprihatinan dalam hidup bermasyarakat kerana kemajuan sesebuah negara bukan sahaja bergantung kepada pembangunan ekonomi semata-mata, malah turut bergantung kepada kekuatan hubungan antara rakyatnya.
“Jika masyarakat hidup dalam keadaan saling menghormati dan memahami, kita akan mempunyai asas yang kukuh untuk menghadapi apa juga cabaran pada masa hadapan.
“Saya berharap program ini akan terus menjadi wadah yang menyatukan masyarakat serta memperkukuh persefahaman dan keharmonian antara agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Doa Sayangi Malaysia sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Sri Pasupathinath Alayam Temple, di sini, pada Ahad.
Joniston berkata, program berkenaan membuktikan semangat patriotisme bukan hanya diterjemahkan melalui sambutan dan pengibaran Jalur Gemilang, malah boleh dizahirkan menerusi doa, rasa syukur, sikap saling menghormati serta kesediaan semua pihak untuk bersama-sama menjaga keamanan dan keharmonian negara.
Menurutnya, program itu turut menyediakan ruang kepada penganut agama bukan Islam untuk menzahirkan rasa syukur atas keamanan, keharmonian dan kesejahteraan yang dinikmati sebagai rakyat Malaysia.
“Rasa syukur tersebut dizahirkan melalui upacara sembahyang atau doa mengikut agama dan kepercayaan masing-masing.
“Walaupun kita berbeza dari segi cara beribadat dan pegangan agama, kita berkongsi harapan yang sama terhadap tanah air yang menjadi tempat kita hidup, membina keluarga dan mencorakkan masa depan yang lebih baik buat generasi akan datang,” katanya.
Beliau berharap program berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan lebih meluas daripada masyarakat, khususnya generasi muda, supaya nilai toleransi, perpaduan dan sikap saling menghormati dapat terus dipupuk dan diwariskan kepada generasi seterusnya.
Hadir sama, Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Mackey Apison Lo; Pengerusi Persatuan Agama Hindu Malaysia Cawangan Majlis Sabah, Datuk Dr. G. Mohan A/L Gopal Naidoo; dan Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), Tan Sri Datuk Seri Panglima (Dr.) T.C Goh.















Comments