top of page

Keperluan PPDK Penampang sentiasa diberi perhatian - Ewon

  • nabalunews
  • Jun 13
  • 2 min read

ree

13 Jun 2025


PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, berkata keperluan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Penampang sentiasa menjadi keutamaan dan akan terus diberi perhatian, khususnya dalam usaha meningkatkan kemudahan di pusat tersebut.


Ewon berkata, sejak dipilih sebagai Ahli Parlimen Penampang, beliau menyalurkan peruntukan setiap tahun kepada PPDK Penampang.


“Ini merupakan sokongan saya dalam usaha untuk melengkapkan usaha yang dibuat oleh guru-guru dan ibu bapa di PPDK Penampang yang memerlukan sokongan bukan hanya daripada Wakil Rakyat tetapi juga daripada pelbagai agensi Kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

ree

“Saya amat yakin PPDK Penampang akan terus mendapat sokongan daripada banyak pihak,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan PPDK Penampang 2025 yang berlangsung di Dewan Perpustakaan Daerah Penampang, hari ini.


Ewon turut menyampaikan peruntukan Ahli Parlimen Penampang sebanyak RM20,000 kepada PPDK untuk menambahbaik kemudahan dan kelengkapan yang diperlukan di pusat tersebut.

ree

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, antara perkara yang diberi tumpuan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) ialah penambahbaikan kemudahan untuk masyarakat berkeperluan khas dan warga emas (aging society).


“Sudah tentu sebagai Ahli Parlimen Penampang di bawah Pelan Pembangunan Penampang yang telah kita lancarkan pada tahun 2023 turut mengambil kira keperluan golongan istimewa.


“Ini termasuklah menyediakan fasiliti yang diperlukan untuk menyokong keperluan masyarakat menua dan yang berkeperluan khas seperti PPDK. Mudah-mudahan dalam penyediaan RMK13, kementerian berkenaan dapat mengambil pandangan dan permintaan wakil-wakil rakyat setempat seperti mana kita di bawah Pelan Pembangunan Penampang.

ree

“Saya akan terus berjuang untuk mendapatkan fasiliti yang diperlukan oleh masyarakat Penampang terutama dalam aspek penjagaan warga emas dan masyarakat berkeperluan khas seperti Orang Kelainan Upaya (OKU),” katanya.


Katanya lagi, selain kebajikan golongan berkeperluan khas turut diberi perhatian ialah perusahaan sosial yang melibatkan kumpulan sasar seperti Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas.


“Selaku Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, di bawah Dasar Perusahaan Sosial SEMy2030, kita juga menyokong mana-mana perusahaan sosial sama ada daripada koperasi atau syarikat yang mengambil bahagian dalam perkhidmatan perusahaan sosial ini,” katanya.


Beliau berkata, selain mengeluarkan akreditasi, KUSKOP melalui agensi seperti SME Bank dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) turut menyediakan pembiayaan perusahaan sosial.


“Saya mengalu-alukan sekiranya ada koperasi atau syarikat perusahaan sosial yang berminat untuk mendapatkan akreditasi ini, boleh tampil kepada Kementerian saya dan sekiranya memerlukan pembiayaan, kita ada produk khas pembiayaan perusahaan sosial di bawah SME Bank dan SKM,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page