KePKAS umum pelancaran rasmi Pelan Pengurusan Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu yang baharu
- nabalunews
- Jan 17
- 3 min read

17 Januari 2026
KUNDASANG: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), mengumumkan pelancaran rasmi Pelan Pengurusan Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu yang baharu.
Pengumuman itu dibuat Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin kertika merasmikan Sambutan Jubli Perak Taman Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia Ke-25 Tahun serta melancarkan Pelan Pengurusan Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu," disini hari ini.
Jafry berkata, pelan ini merupakan dokumen strategik utama yang akan menjadi panduan jangka panjang dalam memastikan kelestarian Taman Kinabalu, selaras dengan dasar negara dan negeri, termasuk National Climate Change Policy, National Biodiversity Policy, dan Sabah Sustainable Development Policy.
"Pelan ini memberi penekanan kepada empat tonggak utama iaitu Adaptasi Perubahan Iklim, Kawalan Kapasiti Pelawat, Pengurusan Risiko Bencana dan Kesejahteraan serta penginstitusian peranan komuniti," katanya.
Sementara itu, Jafry berkata, Kejayaan Taman Kinabalu mengekalkan status Tapak Warisan Dunia selama 25 tahun adalah hasil daripada ekosistem tadbir urus perlindungan yang holistik dan berlapis.
Beliau berkata, Taman Kinabalu bukan sekadar mercu tanda geografi. Ia adalah khazanah alam, arkib biodiversiti dunia, dan lambang hubungan harmoni antara manusia, alam, dan nilai spiritual yang diwarisi turun-temurun.
Katanya, di peringkat global, pengurusan Taman Kinabalu kekal mematuhi prinsip dan garis panduan di bawah World Heritage Convention UNESCO, memastikan perlindungan Outstanding Universal Value dilaksanakan mengikut piawaian antarabangsa.
Di peringkat serantau, katanya pengiktirafan sebagai ASEAN Heritage Park mengiktiraf peranan kepimpinan Sabah dalam konservasi biodiversiti Asia Tenggara.
"Di peringkat nasional, pengurusan tapak ini diselaraskan dengan dasar-dasar utama negara seperti Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan dan Dasar Perubahan Iklim Negara, memastikan pemuliharaan selari dengan agenda pembangunan mampan.
"Manakala di peringkat negeri, Kerajaan Negeri Sabah melalui Taman-Taman Sabah melaksanakan mandat perlindungan secara strategik berlandaskan Enakmen Taman-Taman 1984 serta Pelan Strategik Taman-Taman Sabah.
"Keseluruhan kerangka ini memastikan perlindungan Taman Kinabalu dilaksanakan secara konsisten, berintegriti, telus, dan boleh diaudit satu prasyarat penting dalam mengekalkan kepercayaan komuniti antarabangsa.
"Kejayaan ini turut diperkukuh melalui penglibatan bersepadu pemegang taruh strategik khususnya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Pejabat Daerah, serta agensi penguatkuasaan dan keselamatan lain.
"Kerjasama rentas agensi ini memastikan pelaksanaan undang-undang, keselamatan awam, kesiapsiagaan bencana, pengurusan kecemasan, serta penyelarasan pentadbiran berjalan dengan lancar dan berkesan.
"Inilah manifestasi sebenar konsep memperkasa pelindungnya apabila semua pihak memainkan peranan masing-masing secara kolektif demi mengekalkan integriti Tapak Warisan Dunia ini," katanya.
Namun demikian, katanya dasar dan perundangan semata-mata tidak mencukupi tanpa penglibatan komuniti setempat. Komuniti merupakan rakan strategik utama dalam pemeliharaan Taman Kinabalu sama ada sebagai Malim Gunung, Porter, Renjer Kehormat, atau melalui peranan Majlis Pemegang Adat Istiadat Gunung Kinabalu.
"Penglibatan ini memastikan pengurusan moden berjalan seiring dengan pemeliharaan nilai tradisi, adat, dan kesucian Gunung Kinabalu yang menjadi lambang identiti dan spiritualiti masyarakat Sabah.
"Inilah kekuatan sebenar model pemuliharaan kita apabila ilmu moden dan kearifan tempatan saling melengkapi," katanya.
Jafry berkata, keunikan Taman Kinabalu turut terserlah melalui kejayaan mengharmonikan dua status antarabangsa yang berprestij Tapak Warisan Dunia UNESCO dan UNESCO Global Geopark.
Katanya, melalui pelaksanaan Model Imbangan, perlindungan ketat dilaksanakan di zon teras Tapak Warisan Dunia, manakala pembangunan sosioekonomi komuniti secara mampan dibolehkan di kawasan penampan Geopark.
"Pendekatan ini menjadikan Taman Kinabalu sebagai model rujukan global dalam pengurusan tapak warisan berstatus berganda satu pencapaian yang wajar kita banggakan," katanya.
Beliau berkata, selaras dengan agenda sains UNESCO, Taman Kinabalu telah memperkukuh kedudukannya sebagai Hab Penyelidikan Ekosistem Gunung Tropika. Kerjasama dengan institusi antarabangsa dari Asia dan Eropah telah menghasilkan penerbitan berimpak tinggi yang diiktiraf di peringkat global.
Katanya, pengalaman gempa bumi Ranau pada tahun 2015 pula menjadi titik perubahan penting dalam pengurusan risiko dan keselamatan. Sejak itu, penggunaan sistem pemantauan digital seperti EarthRanger membolehkan pemantauan biodiversiti dan keselamatan dilakukan secara masa nyata menjadikan penguatkuasaan lebih proaktif, berasaskan data, dan berkesan.
Jafry berkata, dalam sektor pelancongan, Taman Kinabalu mengamalkan prinsip kualiti mengatasi kuantiti. Pengiktirafan Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) Gred Platinum serta pengiktirafan di peringkat ASEAN membuktikan komitmen terhadap standard perkhidmatan bertaraf antarabangsa.
Katanya, manfaat ekonomi daripada pelancongan ini pula diagihkan secara inklusif kepada komuniti setempat, selari dengan prinsip pembangunan mampan dan keadilan sosial.
Menyentuh tema tema sambutan kali ini, “Meraikan Khazanah, Memperkasa Pelindungnya”, Jafry berkata, ia mencerminkan pendekatan kerajaan yang seimbang dan berpandangan jauh antara mengiktiraf pencapaian masa lalu dan menegaskan keperluan memperkukuh sistem perlindungan bagi menghadapi cabaran masa hadapan.


















Di era sekarang, anak butuh lebih dari sekadar hafalan. Pembelajaran di UNICCM School menekankan pemahaman, karakter, dan keterampilan berpikir. Bekal penting untuk masa depan.