KPM buka pengambilan 20,000 guru baharu Mac ini
- nabalunews
- 5 minutes ago
- 1 min read

30 Januari 2026
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG9 secara perkhidmatan kontrak (CoS) bagi memenuhi keperluan pendidikan negara.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, berkata inisiatif itu merupakan sebahagian persiapan awal KPM bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dan kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun 1 secara sukarela bermula tahun hadapan.
“Hebahan rasmi pengambilan akan dibuat pada 23 Februari dan permohonan dibuka bagi tempoh 2 hingga 20 Mac ini.
“Manakala proses saringan dan temu duga dijadualkan dari 27 April hingga 14 Mei,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Mohd Azam, proses pengambilan guru baharu tersebut mendapat kerjasama penuh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Bagi memastikan aspek kompetensi guru terpelihara, katanya, calon terpilih perlu menjalani latihan ikhtisas di Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM dalam pelbagai bidang pengkhususan.
“Inisiatif ini adalah cerminan komitmen berterusan kerajaan bagi meningkatkan mutu pendidikan negara demi manfaat anak-anak Malaysia,” ujarnya.














