top of page

Keputusan GRS pilih PH wajar dihormati – Salleh

  • nabalunews
  • Jul 28, 2025
  • 2 min read

28 Julai 2025


KOTA KINABALU: Keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai rakan kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah adalah langkah yang wajar dihormati.


Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, keputusan GRS yang akhirnya menolak jalan solo dan memilih untuk bersama parti-parti nasional, sudah tentu dibuat dengan asas tersendiri dan membuka peluang untuk rakyat menilai keputusan tersebut.


“Mengapa GRS memilih PH? Kita bersangka baik, mungkin kerana mahu bekerjasama dengan parti Perdana Menteri iaitu PH, dan memastikan hubungan yang baik dengan kerajaan pusat. Ini selari dengan keperluan untuk menjamin kestabilan politik dan pembangunan untuk Sabah.


“GRS juga menolak formula Sarawak yang menjauhkan diri daripada parti nasional, sebaliknya, memilih untuk bekerjasama dengan parti-parti nasional,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.


Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan berkata, pendirian Barisan Nasional (BN) pula sejak awal adalah konsisten untuk menjalin kerjasama dengan PH sebagai pendekatan terbaik dalam menjamin kestabilan politik.


“Bagi BN, kita awal-awal lagi telah membuat pilihan untuk bersama PH atas dasar bahawa kita adalah asas Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat,” katanya.


Beliau turut menyifatkan kerjasama tersebut sebagai kesinambungan yang logik dan bertanggungjawab.


Mengulas pengurusan kerjasama antara PH, BN dan GRS, Salleh berkata ia bukan urusan BN secara langsung, sebaliknya parti itu mahu keikhlasan dalam kerjasama tersebut.


“Apa yang penting bagi BN ialah keikhlasan dalam kerjasama, dan fokus kita ialah memperkukuh kekuatan parti di lapangan,” ujarnya.


Jelasnya, matlamat utama BN adalah untuk mencapai kemenangan dan membantu rakan-rakan dalam gabungan tanpa mengamalkan pendekatan bermuka-muka.


“Kita tidak bermain dua muka. Pendekatan kita jelas, jujur, terbuka dan demi kebaikan rakyat Sabah,” katanya.


Terdahulu, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan GRS dan PH telah bersetuju mewujudkan kerjasama pilihan raya bagi PRN17 Sabah.


Menurut Hajiji, kerjasama padu GRS-PH yang terbukti membawa kestabilan dan kemajuan kepada Sabah wajar dikekalkan sebagai sebuah kerjasama yang tulen.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page