Keputusan Mahkamah Bukti Hak Sabah Diiktiraf
- nabalunews
- Oct 17
- 1 min read

17 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Donald Peter Mojuntin menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, hari ini, yang ‘mengembalikan’ semula 40 peratus hasil bersih Persekutuan dari Sabah sebagai satu detik bersejarah.
Menurutnya, ia bukan sahaja untuk Kerajaan Negeri, tetapi juga untuk seluruh rakyat Sabah yang telah lama menuntut hak keadilan.
Katanya, keputusan itu bukan sekadar soal angka atau peruntukan kewangan, tetapi melibatkan soal hak, maruah dan janji yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Sudah terlalu lama rakyat Sabah bersabar dan berharap agar hak ini dikembalikan. Hari ini, mahkamah akhirnya menegaskan bahawa suara kita ada asas dan kebenarannya.
“Perjuangan ini belum selesai, tetapi hari ini kita melangkah satu langkah besar ke hadapan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Donald berkata, perjuangan ini akan diteruskan dengan tekad dan harapan demi keadilan, demi Sabah dan demi Malaysia yang sebenar-benarnya adil.
Bagaimanapun katanya, sekiranya Kerajaan Persekutuan memilih untuk merayu keputusan berkenaan, langkah itu adalah hak mereka dari sudut undang-undang.
Namun katanya, tindakan itu juga boleh dilihat oleh rakyat Sabah sebagai penolakan terhadap hak negeri yang telah diiktiraf oleh mahkamah.
“Sebaliknya, jika kerajaan memilih untuk tidak merayu dan terus melaksanakan semakan bersama Kerajaan Sabah, ia akan menjadi tanda keikhlasan dan kesediaan menghormati semangat MA63 seperti yang dijanjikan ketika pembentukan Malaysia.
“Dengan semangat perpaduan dan tanggungjawab, saya menyeru agar kedua-dua kerajaan iaitu negeri dan persekutuan segera duduk semeja dan melaksanakan keputusan ini dengan ikhlas,” katanya.
Donald berkata, apa yang menjadi hak rakyat Sabah mesti dikembalikan kepada rakyat, agar hasil bumi dan sumber negeri ini benar-benar membawa manfaat kepada anak-anak Sabah di sekolah, di kampung, di bandar dan di seluruh pelusuk negeri.


















Comments