top of page

Keputusan UPKO Atas Prinsip Demi Mempertahankan Hak Sabah

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

ree

16 November 2025


KOTA KINABALU: Keputusan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) untuk keluar daripada kerajaan Persekutuan dibuat berlandaskan prinsip dan komitmen jangka panjang untuk mempertahankan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Setiausaha Agungnya, Datuk Nelson W Angang, berkata keberanian UPKO membuat keputusan sukar itu mencerminkan integriti parti dan keteguhan pendiriannya.


“Bagi UPKO, apabila pandangan, suara dan keputusan kami tidak lagi dihormati, kami bersedia untuk meninggalkan kerajaan, walaupun masih berbaki dua tahun pentadbiran.


“Ia bukan keputusan kecil, tetapi keputusan yang dibuat kerana enggan berkompromi terhadap hak Sabah. Kami masih menyokong kerajaan dan menghormati Yang di-Pertuan Agong. Ewon hanya meletakkan jawatan dalam kabinet dan UPKO keluar daripada PH,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau mengulas kenyataan seorang pemimpin MCA, Pamela Yong, dalam sebuah portal berita, baru-baru ini.


Dalam kenyataan itu, Pamela mendakwa UPKO hanya bergerak mengikut “tiupan angin politik” dan keputusan parti itu keluar dari kerajaan hanyalah satu bentuk sandiwara.


Nelson, bagaimanapun mempersoalkan sama ada MCA benar-benar mempunyai kebebasan untuk membuat keputusan sendiri dalam gabungan politiknya atau sekadar menurut arahan komponen lain dalam Barisan Nasional (BN).


“Daripada apa yang kami perhatikan, MCA jarang sekali atau tidak pernah bersuara mengenai hak tuntutan hasil 40 peratus yang sepatutnya diberikan kepada Sabah.


“Ia sangat mudah untuk mengkritik parti lain yang berani membuat keputusan tegas dan menyatakan ‘sudah cukup’, sedangkan MCA terus kekal dalam BN walaupun berulang kali mengatakan mereka tidak dilayan dengan adil,” katanya.


Nelson berkata, saman pemula yang difailkan sebelum ini berjaya mencetuskan gelombang kesedaran, perbahasan dan tekanan daripada rakyat agar kerajaan Persekutuan menunaikan hak hasil 40 peratus Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


“Setidak-tidaknya, tindakan undang-undang itu membuka mata rakyat dan juga kerajaan. Tanya rakyat Sabah sendiri, adakah mereka menyokong keberanian UPKO dan keputusan Datuk Ewon Benedick untuk keluar daripada kerajaan PH demi mempertahankan hak negeri kita?” katanya.


Nelson turut mempersoalkan peranan MCA dalam perjuangan menuntut kembali hak perlembagaan Sabah.


“Apa yang MCA telah lakukan untuk memperjuangkan kepentingan Sabah? UPKO sejak dahulu lagi konsisten memperjuangkan MA63. MCA pula sering merungut dipinggirkan dalam BN tetapi tetap memilih untuk kekal,” tambahnya.


Beliau menegaskan bahawa perjuangan UPKO bukanlah gerakan politik jangka pendek, tetapi usaha berterusan untuk memastikan suara dan hak Sabah benar-benar didengar dan dihormati.


“Keberanian untuk keluar daripada zon selesa politik datang daripada prinsip. UPKO akan terus mempertahankan maruah Sabah dan kami yakin majoriti rakyat Sabah bersama kami,” tegasnya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page