• Wartawan Nabalu News

Kerajaan akan batal pas kerja dua syarikat minyak dan gas di Sabah, 1 Okt: Masidi


Datuk Masidi Manjun

19 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan menghentikan dan membatalkan permit kerja bagi dua syarikat minyak dan gas di Sabah yang gagal membayar Cukai Jualan Negeri (CJN) yang dituntut oleh kerajaan negeri, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Masidi Manjun.


Beliau berkata, pembatalan semua permit kerja itu akan berkuatkuasa 1 Oktober ini.


Katanya, pada 1 Julai 2022 kerajaan negeri telah mengadakan mesyuarat bersama petronas bagi membincangkan tindakan tindakan selanjutnya yang akan diambil oleh kerajaan negeri atas pihak syarikat susulan persetujuan yang dicapai melalui mesyuarat pada 22 Jun lalu.


“Pada 8 Julai lalu kerajaan negeri telah mengeluarkan surat kepada syarikat yang berkenaan bagi memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan menghentikan dan membatalkan semua pass kerja untuk operasi syarikat mereka,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Adun Senallang Datuk Mohd Shafie Apdal.


Masidi berkata, kerajaan negeri telah mengambil beberapa tindakan kepada syarikat berkenaan.


“Pada 8 Jun 2022 kerajaan negeri telah mengeluarkan surat menuntut tunggakan pembayaran cukai jualan negeri dariapda syarikat yang terlibat. Pada 14 Jun 2022, kerajaan negeri telah mengeluarkan surat penolakan kepada rayuan dikemukan syarikat.


“Kemudiannya pada 21 Jun 2022, pengarah cukai kerajaan negeri telah mengeluarkan notis surat tafsiran kepada syarikat bagi menuntut bayaran cukai tertunggak berserta penalti berjumlah RM97.31 juta iaitu cukai RM65.65 juta dan penalti 31.66 juta,” kata Masidi.


Katanya lagi, setakat ini RM97.31 juta perlu dijelaskan secara penuh dalam tempoh 30 hari dari tarikh surat dikeluarkan yang mana jika gagal tindakan sivil akan diambil oleh kerajaan negeri.


“Pada 22 Jun 2022, kerajaan negeri telah mengadakan pertemuan dengan pihak Petronas dan syarikat yang terlibat untuk membincangkan pembayaran cukai yang tertunggak berserta penalti yang dikenakan.


“Keputusanya yang dicapai adalah pihak syarikat minta tempoh penangguhan atau grace period selama satu minggu untuk berunding dengan Petronas dan akan memaklumkan keputusan mereka selepas tempoh tersebut,” katanya.