Kerajaan akan kaji semula gaji penjawat awam seluruh negara

8 Julai 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengkaji semula gaji dan elaun penjawat awam seluruh negara yang tidak dinilai sejak 2013.
Beliau berkata, beliau telah bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamad untuk menubuhkan pasukan khas bagi mengemukakan cadangan kepada kerajaan.
"Kita akan bentangkan pada jemaah menteri supaya diberikan kelulusan dan pasukan ini boleh terus memulakan kerja untuk memberikan cadangan kepada kerajaan untuk melihat (mengkaji)," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban.
Tambah Anwar, walaupun negara ketika ini menghadapi kekangan kewangan, beliau yakin ada jalan untuk mempertimbangkan kenaikan gaji penjawat awam yang dilihat tidak setimpal dengan tugasan mereka.
"Sudah 10 tahun tidak dinilai semula gaji penjawat awam dan minggu depan bersama barisan jemaah menteri saya akan pastikan keputusan berkenaan dapat dibuat," katanya.
Beliau juga berharap pelaburan yang diterima kerajaan negeri dan persekutuan dapat bergerak pantas bagi merealisasikan usaha tersebut.
Comments