Kerajaan Bangun Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan Hadapi Status Negara Tua
- nabalunews
- Aug 26, 2025
- 2 min read

26 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah membangunkan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (NAB) 2025-2045 pada tahun ini sebagai langkah proaktif mempersiapkan negara menghadapi status negara tua menjelang 2048.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata usaha mempersiapkan negara ke arah status masyarakat menua adalah satu cabaran kompleks yang memerlukan pertimbangan pelbagai aspek, termasuk keperluan fiskal, pasaran buruh, perkhidmatan kesihatan dan penjagaan.
Katanya, NAB merangkumi perancangan dasar, rangka kerja dan pelan tindakan menyeluruh dalam bidang ekonomi, pekerjaan, pendidikan, perlindungan sosial, kesihatan serta penjagaan jangka masa panjang.
“Fokus NAB diterjemahkan melalui pelbagai strategi dan inisiatif khusus di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk mempersiapkan Malaysia menuju negara tua,'' katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan asal Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai fenomena penuaan populasi yang dialami negara serta persediaan kerajaan dalam menghadapi fenomena itu termasuk unjuran trend populasi, kelahiran, kematian dan perkahwinan dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Amir Hamzah yang juga menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkata, Malaysia telah menjadi negara menua pada 2021 apabila populasi berumur 65 tahun dan ke atas mencecah tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.
Menurutnya, berdasarkan statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Julai 2025, Malaysia diunjur menjadi negara tua menjelang 2048 apabila peratusan populasi itu mencecah 14 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.
Dalam pada itu katanya, peningkatan jangka hayat dan kemerosotan kadar kesuburan menyebabkan jumlah penduduk umur muda antara 0 hingga 14 tahun akan terus berkurang sementara jumlah penduduk umur tua lebih daripada 65 tahun akan terus meningkat.
“Berdasarkan statistik DOSM, jumlah penduduk Malaysia pada 2025 adalah sebanyak 34.2 juta dan diunjurkan meningkat kepada 36.4 juta pada 2030 serta 38.3 juta menjelang 2035.
“Kadar kesuburan juga diunjur terus berkurangan daripada 1.67 anak bagi setiap wanita berumur 15 hingga 49 tahun pada 2025 kepada 1.66 pada 2030 dan 1.6 pada 2035. Ini berada di bawah paras penggantian semenjak 2013, taraf penggantian adalah 2.1,” jelasnya.
Selain itu katanya, kadar perkahwinan kasar iaitu bilangan perkahwinan bagi setiap 1,000 penduduk juga menunjukkan trend penurunan, daripada 6.6 perkahwinan pada 2022 kepada 5.7 pada 2023.
Amir Hamzah berkata, perubahan dalam trend perkahwinan ini dijangka memendekkan tempoh reproduktif dan seterusnya menyumbang kepada penurunan kadar kelahiran.















Comments