Kerajaan belanja RM4.32 bilion laksana Rancangan Tebatan Banjir seluruh negara
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

28 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) membelanjakan RM4.32 bilion dalam tempoh lima tahun lalu bagi pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara.
Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelaksanaan projek itu dijalankan secara berperingkat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui pendekatan struktur dan bukan struktur bagi memperkukuh infrastruktur serta mengurangkan risiko bencana banjir.
Katanya, perbelanjaan tertinggi direkodkan pada 2024 dengan peruntukan RM1.19 bilion, diikuti RM1.39 bilion bagi tahun ini, RM688 juta pada 2022, RM541 juta (2021) dan RM526 juta (2023).
“Bagi Sabah, sebanyak 15 projek RTB dengan anggaran kos keseluruhan RM948.1 juta sedang dan telah dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Daripada jumlah itu, empat projek telah siap, dua lagi dalam fasa pra pelaksanaan, manakala sembilan sedang dilaksanakan. Pelaksanaan projek ini berjaya mengurangkan kawasan hotspot banjir di Sabah daripada 798 lokasi kepada 517,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai perbelanjaan projek tebatan banjir di seluruh negara sejak lima tahun lepas, peruntukan untuk Sabah dan keberkesanan inisiatif infrastruktur dan bukan infrastruktur dalam mengurangkan risiko banjir.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata peruntukan bagi Sabah diagihkan mengikut keutamaan daerah melalui pelaksanaan kerja kecil di bawah projek pemuliharaan sungai untuk mengurangkan risiko banjir yang dijangka siap Disember ini.
“Sebanyak RM35.76 juta telah disalurkan kepada Sabah dari tahun 2022 hingga 2024 melibatkan 288 sebut harga kerja kecil seperti kerja-kerja pengaluran sungai, penstabilan tebing serta naik taraf struktur saluran air.
“Bagi tahun 2025 pula, RM10.64 juta diperuntukkan bagi 58 sebut harga kerja kecil dengan skop yang sama,” jelasnya.
Selain itu, katanya, pendekatan bukan struktur turut dilaksanakan melalui Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir (PITB) bagi merangka dasar serta strategi pembangunan lebih efektif berasaskan perubahan guna tanah, demografi dan kekerapan hujan.
Menjawab soalan tambahan Ronald mengenai peningkatan insiden banjir di beberapa kawasan di Sabah dan kesan pembangunan seperti projek Pan Borneo, Akmal Nasrullah berkata, kerajaan akan memastikan setiap projek baharu mengambil kira kesan terhadap sistem saliran dan risiko banjir.
"Sebagai contoh, Sungai Moyog menghadapi cabaran aliran dari Banjaran Crocker yang kesannya dirasai hingga Putatan. Fasa pertama projek di bawah RMK12 sedang berjalan dan fasa 2A bernilai RM250 juta akan diteruskan di bawah RMK13," katanya.
Beliau berkata, pelbagai faktor seperti perubahan iklim, taburan hujan dan pembangunan boleh meningkatkan risiko banjir, justeru PITB dijadikan panduan oleh JPS dalam mengenal pasti kawasan hotspot dalam perancangan pembangunan serta pembinaan baharu.


















Comments